KUALA LUMPUR, 13 November: Harga bahan api jet yang lebih tinggi mungkin menjadi norma baharu untuk industri penerbangan apabila syarikat penerbangan mula bergelut dengan persekitaran lonjakan kos operasi, yang berpotensi membawa kepada tambang dan surcaj bahan api yang lebih mahal, kata Persatuan Syarikat Penerbangan Asia Pasifik (AAPA).
Ketua Pengarah AAPA, Wong Hong berkata industri itu menghadapi persekitaran kos yang jauh berbeza berbanding tahun sebelum ini apabila harga bahan api jet berada pada sekitar AS$80 setong daripada paras semasa AS$180 setong.
Walaupun pengguna semakin menyedari keadaan pasaran dan faktor-faktor yang mempengaruhi tambang penerbangan, syarikat penerbangan berusaha untuk mengimbangi kos operasi yang lebih tinggi dengan keperluan bagi memastikan perjalanan udara masih rendah.
“Kami beroperasi dalam persekitaran yang sama sekali berbeza, dengan struktur kos yang berbeza sama sekali dan kebimbangan kami ialah harga tinggi ini kelihatan akan berterusan.
“Anda akan mendengar sentimen yang sama daripada mana-mana ketua pegawai eksekutif hari ini, mencadangkan bahawa ianya boleh menjadi norma baharu. Sudah tentu, saya berharap perkara ini tidak akan berlaku,” katanya dalam sidang media di Perhimpunan Presiden ke-70 AAPA (AP70) di sini hari ini
Wong juga berkata syarikat-syarikat penerbangan sedang meneroka cara untuk menentukan tahap harga yang sesuai merentas pasaran berbeza, termasuk melalui surcaj bahan api dan pelarasan tambang, sambil memastikan perjalanan udara kekal dalam kemampuan penumpang.
Penglibatan dengan kerajaan juga adalah penting untuk menangani peningkatan kos operasi, yang boleh menjadi tidak mampan jika kenaikan harga bahan api berterusan dalam jangka panjang.
“Saya akan menggesa kerajaan untuk melibatkan diri dengan syarikat penerbangan nasional masing-masing bagi meneroka penyelesaian.
“Ini mungkin berbeza bergantung pada syarikat penerbangan tertentu, persekitaran pasaran dan keadaan mendesak situasi masing-masing tetapi diharapkan perbincangan tersebut akan membawa kepada penyelesaian yang lebih baik selain operasi syarikat penerbangan yang lebih mampan di tengah-tengah lonjakan harga semasa minyak dan bahan api,” katanya.
Wong ketika mengulas mengenai bahan api penerbangan lestari (SAF) berkata syarikat penerbangan menghadapi cabaran besar dalam memenuhi sasaran industri untuk mencapai penggunaan SAF lima peratus menjelang 2030 disebabkan kos pengeluaran yang tinggi, ketersediaan terhad dan keperluan untuk sokongan kerajaan yang lebih baik.
Katanya, sasaran itu ditetapkan sebagai pencapaian aspirasi bagi mempercepatkan penyahkarbonan penerbangan dan menggalakkan pengeluaran SAF tetapi ia sukar dicapai dengan tempoh hanya tinggal kira-kira empat tahun sahaja.
Respons daripada seluruh industri menunjukkan bahawa kemampuan dan bekalan terus menjadi halangan utama kepada penggunaan SAF yang lebih luas.
“Walaupun industri komited untuk mencapai sasaran lima peratus, kami memerlukan bantuan dan sokongan yang besar untuk membolehkannya, malahan, sokongan itu perlu dimulakan sekarang.”
Wong berkata cabaran itu, ditambah lagi dengan kenaikan harga bahan api jet konvensional, mendorong syarikat penerbangan merentasi pelbagai pasaran untuk memperkenalkan surcaj bahan api.
“Syarikat penerbangan masih tidak dapat mengimbangi sepenuhnya impak harga bahan api fosil semasa. Apa lagi dengan SAF, cabarannya lebih besar. Dari perspektif kewangan dan ekonomi, ini memberikan cabaran yang agak ketara kepada syarikat penerbangan. Itulah sebabnya kami telah menekankan bahawa walaupun industri mahu mencapai sasaran lima peratus, kami memerlukan bantuan termasuk sokongan untuk membolehkannya,” katanya lagi. – Bernama




