BELAGA: Usaha Pelayanan Wanita Borneo Evangelical Church (BEM) Uma Baha di sini membina rumah sarang burung walit untuk melonjak pendapatan gereja terbabit harus dicontohi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chuk Pai Ugon berkata, kos pembinaan rumah sarang burung tersebut sekitar RM98,000.00.
“Dua tahun lalu saya melakukan upacara pecah tanah untuk membina sarang burung ini dan kini sudahpun siap hasil usaha wanita di sini,” katanya semasa merasmikan pembukaan Rumah Burung Walit yang dibina hasil usaha Pelayanan Wanita BEM Uma Baha Apau Koyan, di sini semalam.
Menurutnya, dana untuk membina rumah tersebut adalah hasil usaha wanita gereja berkenaan.
“Selain daripada peruntukan projek kecil luar bandar (MRP), pelayanan wanita juga mengutip dana menerusi jualan kuih, kraf tangan, menganjur majlis makan malam dan sebagai”.
“Tahniah dan syabas kepada Pelayanan Wanita BEM Uma Baha atas komitmen dan kerja keras bagi membantu mencari dana untuk Pelayanan Gereja,” katanya.
Sejurus selesai merasmikan pembukaan Rumah Burung Walit Pelayanan Wanita BEM Uma Baha itu, beliau meneruskan lawatan kerja dengan merasmikan pembukaan laluan pejalan kaki berbumbung dari Blok ABC, KLM dan NPQ yang menghubungkan sembilan blok rumah panjang (135 pintu) di kampung Uma Baha, Apau Koyan.
Oleh Ellie Edward