SIBU: Tindakan pantas polis berjaya menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dengan kes pecah rumah dan melarikan sebuah kereta di sebuah stesen minyak di Jalan Tunku Abdul Rahman, Batu 8 di sini, Ahad lalu.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintenden Collin Babat, dalam kejadian kira-kira jam 6.35 pagi itu, suspek, 34, dikesan menceroboh sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan Jade Villa.
“Kelibat suspek disedari oleh abang kepada pemilik rumah terbabit sebelum bertindak menjerit memanggil adiknya hingga menyebabkan suspek terkejut dan melarikan diri.
“Kejadian tersebut telah dikongsikan dalam Group WhatsApp Perumahan Jade Villa dan sekitar jam 9.30 pagi, ada penduduk yang melaporkan melihat suspek bersembunyi di suatu kawasan semak berhampiran.
“Beberapa orang penduduk bertindak mengepung tempat persembunyian tersebut tetapi suspek berjaya melarikan diri ke arah sebuah stesen minyak yang terletak di seberang jalan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Katanya lagi, suspek yang merupakan seorang penganggur itu bertindak masuk ke dalam sebuah kereta milik seorang pesara tentera yang bermur 65 tahun.
“Suspek mengarahkan mangsa untuk beredar namun, mangsa tidak mengendahkan permintaan suspek sebaliknya meluru keluar dari kereta kerana berasa takut.
“Suspek kemudian melarikan kereta milik mangsa menuju ke arah Sibu Jaya/Bintulu,” ujarnya.
Jelas Collin, hasil maklumat dari orang ramai dan tindakan pantas anggota polis berjaya menahan suspek di kawasan Stapang.
“Pada mulanya suspek cuba melarikan diri dengan terjun ke dalam sungai berhampiran selepas menyedari kehadiran polis namun berjaya dicekup.
“Kereta milik mangsa juga turut di bawa ke balai manakala suspek akan direman serta diarah menjalani ujian air kencing bagi membantu siasatan lanjut.
Oleh Nurzilla Mohamad