BEKENU : Lima Projek Rakyat 2019 Jalan Tiris Bulau dan Jambatan Bulau di bawah Projek Rakyat Kerajaan Sarawak sedang giat dilaksanakan.
Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Rosey Yunus ditemui Utusan Sarawak di Kampung Bulau di sini semalam, berkata projek tersebut diluluskan oleh Ketua Menteri ketika hadir pada majlis perasmian Majlis Makanan Tahun Perdana di Kampung Tiris pada 2019.
Antara Projek Rakyat itu ialah jalan berturap seluruh Kampung Tiris menelan belanja RM3,950,000, Jalan Berkenu, Jalan Lubuk Buinih sepanjang enam kilometer (RM3,920,000), Jalan Tiris Bulau sepanjang tujuh kilometer (RM4,600,000), Jalan Bulau Pan Borneo sepanjang enam kilometer (RM3,920,000) dan pembinaan Jambatan Kampung Bulau (RM4,180,000).
“Bagi pihak rakyat Bekenu, saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak dan terima kasih Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dengan peruntukan hadiah besar yang ditunggu oleh rakyat di sini.
“Lawatan ke Kampung Bulau ini adalah untuk bersama penduduk meninjau tapak kawasan pembinaan Jambatan Bulan yang akan dibina dalam masa terdekat.
“Jalan Tiris Bulau dijangka siap penghujung 2020”, jelasnya.
Rosey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) N.71 Bekenu menambah, apabila semua projek rakyat itu siap kelak akan memberi banyak manfaat kepada penduduk Kampung Tiris dan Bulau.
“Inilah projek daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan inilah yang dikatakan melaksanakan apa yang beliau katakan. Projek ini adalah hadiah untuk rakyat di Kampung Tiris, Mutap, Sinop dan Bulau,” katanya.
Sehubungan itu, diharapkan penduduk kampung akan memberi kerjasama kepada kerajaan dan kontraktor bagi menyiapkan projek terbabit, katanya.
Oleh Adum Liu