LIMBANG: Melalui Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM841 juta untuk melaksana projek infrastruktur dan kemudahan sosial di bahagian ini untuk tempoh dua tahun.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata sebanyak 165 projek pembangunan dikenal pasti untuk dilaksanakan di bawah NRDA yang merangkumi infrastruktur asas, ekonomi, pertanian, keusahawanan dan sebagainya.
Menurutnya lagi, bagi projek baik pulih dan naik taraf sekolah di bahagian ini sejumlah RM160 juta dibelanjakan untuk tujuan sama.
“Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan RM1.5 bilion di bawah NRDA melibatkan projek infrastruktur (RM841 juta), naik taraf sekolah daif (RM160 juta), bekalan air dan elektrik, pertanian, penternakan dan pelancongan di Limbang dan Lawas,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Projek Jalan Kampung Pendam ke Kampung Ipai di sini petang semalam.
Turut hadir Menteri Muda Pemodenan Pertanian Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang,Pengarah Wilayah NRDA Datu Ubaidillah Abdul Latif dan Timbalannya Sebi Abang dan Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said.
Awang Tengah juga memberitahu terdapat banyak agensi terlibat sama dalam memastikan projek dilaksanakan.
Pada masa yang sama, NRDA adalah langkah strategik yang dibuat oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk memfokuskan bentuk sumber yang perlu dibangunkan dan melihat program bersesuaian berpandukan kepada kekuatan Sarawak.
“Matlamat kerajaan adalah untuk memastikan wilayah yang ada akan dapat dibangunkan mengikut perancangan dan merapatkan jurang pembangunan,”ujarnya.
Selain itu, Sarawak akan terus berusaha untuk mendapatkan pendapatan melalui sumber lain dan akan di selaraskan untuk mencapai kumpulan sasar.
NRDA dilihat sebagai antara pendekatan strategik Kerajaan Sarawak ke arah memperkasakan usaha pembangunan di kawasan pedalaman serta luar bandar di seluruh pelosok Sarawak.
Pada masa sama katanya Abang Johari juga akan membina lebih banyak jalan pesisir termasuk di Limbang dan Lawas dan, NRDA diberi tanggungjawab sebagai pelaksana projek penting ini.
“Hari ini kita melihat projek menaik taraf jalan pesisir Kampung Ipai sehingga Pendam sejauh 13 kilometer, sejumlah RM35 juta dibelanjakan dan dijangka siap Julai tahun hadapan.
Sementara itu projek penyambungan saluran paip Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dari simpang Mekasing/ Ukong hingga ke Medamit bernilai RM10 juta dijangka siap pada Oktober tahun ini.
Oleh Adeng Idrus