KUCHING: Sarawak mencatatkan kematian ke-18 akibat Covid-19 yang melibatkan seorang warga emas berumur 72 tahun dari Kuching, semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, ia adalah satu daripada dua kes positif Covid-19 yang dilaporkan di Daerah Kuching semalam, menjadikan keseluruhan kes positif adalah 577 kes.
“Kes yang melibatkan kematian adalah yang ke -576, seorang lelaki warga tempatan yang berumur 72 tahun, beliau telah mendapatkan rawatan awal di hospital swasta di Kuching pada 9 Julai kerana mengalami demam sejak 7 Julai lalu.
“Beliau telah dirujuk di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan dimasukkan di wad isolasi, kes merupakan pesakit kencing manis dan mengalami masalah darah tinggi.
“Ujian makmal RT-PCR Covid-19 mendapati beliau adalah positif pada 10 Julai lalu dan keadaan beliau bertambah teruk dan disahkan meninggal dunia pada hari yang sama.
“Punca kematian adalah kegagalan pelbagai organ akibat pneumonia dan Covid-19,” kata kenyataan tersebut, semalam.
Jelas kenyataan itu, kes tersebut merupakan kes Severe Acute Respiratory Infection (SARI) yang berkemungkinan mendapat jangkitan tempatan kerana tiada sejarah perjalanan ke luar negara.
“Pengesanan kontak kes masih dijalankan dan punca jangkitan juga masih dalam siasatan.
“Dengan pelaporan kes tersebut, kes kematian jangkitan Covid-19 di Sarawak sebanyak 18 orang atau 3.12 peratus,” jelasnya.
Mengulas mengenai kes positif yang kedua dilaporkan semalam, iaitu kes ke-577 adalah kes import melibatkan seorang lelaki warga tempatan yang baharu balik dari United Kingdom (UK).
“Ujian saringan RTK Antigen Covid-19 di pintu masuk antarabangsa KLIA pada 9 Julai lalu adalah negatif, semasa beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, beliau terus di bawa di hotel untuk dikuarantin dan diambil sampel rT-PCR pada hari kedua.
“Keputusan ujian rT-PCR mendapati beliau adalah positif Covid-19 dan terus dibawa ke HUS untuk rawatan lanjut,” ujarnya.
Tambahnya, tiada kes baharu yang sembuh dan discaj dari hospital semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang telah sembuh dan discaj kekal sebanyak 552 orang atau 95.67 peratus.
“Manakala, seramai tujuh orang masih menerima rawatan dalam wad isolasi hospital dengan sebanyak 13 orang yang disyaki (PUI) baharu dilaporkan dan dua kes masih menunggu ujuan makmal,” kata kenyataan itu.
Bercakap mengenai pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), sebanyak 2,064 premis telah dipantau di seluruh negeri manakala terdapat enam sekatan jalan raya di lima buah daerah bersempena dengan Op Benteng iaitu di Lundu (2), Bau (1), Serian (1), Sri Aman (1) dan Lubok Antu (1) dijalankan semalan dan daripada enam sekatan tersebut, sebanyak 1,447 jumlah kenderaan telah diperiksa.
Oleh Zarina Abdullah