PUSA: Misteri kehilangan seorang lelaki warga emas yang menjadi mangsa serangan buaya di Sungai Undai sejak 2 Julai lalu, terus menjadi tanda tanya kerana masih belum ditemui sehingga ke hari ini.
Semalam merupakan hari kelapan Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang telah dilanjutkan bagi usaha mencari Sarkawi Talip, 61, yang kekal menjadi misteri kehilangannya.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong PBK I Henry Jugah berkata, SAR yang memasuki hari kelapan semalam terus tertumpu pada kawasan sepanjang di tebingan anak Sungai Undai.
“SAR juga terus dilakukan dan pencarian tertumpu pada radius 3 kilometer (KM) hulu sungai serta anak-anak Sungai Undai, dan 6 KM ke muara sungai hingga ke Sungai Rimbas.
“Dalam operasi SAR yang dijalankan semalam, jumlah petugas SAR telah dikurangkan iaitu keanggotaan yang digerakkan hanya melibatkan seramai dua orang petugas sahaja bagi setiap agensi terlibat,” katanya kepada media semalam.
Namun begitu, menurut Henry penglibatan ahli keluarga mangsa serta penduduk kampung tetap dialu-alukan bersama agensi penyelamat menjalankan pencarian.
Pusat Kawalan Bomba (PKB) kata beliau yang sebelum ini terletak di kawasan Jambatan Sungai Undai, namun pada hari kelapan SAR semalam telah dipindahkan di bawah Jambatan Tandang Sari Pusa.
“Pencarian mangsa masih lagi gagal. Kehilangan Sarkawi kekal misteri dan tiada sebarang petunjuk positif berjaya ditemukan oleh petugas SAR sejak lapan hari lalu.
“Namun begitu, SAR pada hari berikutnya kita akan meneruskan pencarian walaupun keanggotaan SAR telah dikurangkan hanya kepada dua orang bagi setiap agensi,” ujar beliau.
Henry menjangkakan operasi SAR akan ditamatkan sebaik sahaja pihak Sarawak Forestry Corporation (SFC) menjalankan operasi khas menangkap buaya di Sungai Undai, pada minggu depan.
Terdahulu, seorang lelaki warga emas, Sarkawi Talip, 61, dipercayai disambar buaya ketika sedang mengikat pokok rumbia yang ditebangnya di Sungai Undai dekat Kampung Tambak di sini, petang 2 Julai lalu.
Mangsa ketika kejadian yang berlaku sekitar 1 tengah hari itu, menjadi mangsa sang bedal ketika sedang mengikat rumbia yang turut disaksikan oleh rakannya yang berada berhampiran mangsa sebelum mereka menghubungi polis.
BBP Betong telah menerima panggilan daripada pihak Balai Polis Pusa yang memaklumkan kejadian itu sekitar jam 3.45 petang Khamis bagi bantuan mencari dan menyelamat mangsa.
Oleh Adi Safarman