KUCHING: Suruhanjaya Tinggi Malaysia (MHC) di Abuja, Nigeria dan Agensi Promosi Perdagangan Kebangsaan Malaysia (MATRADE) di Lagos akan membawa 30 warga Malaysia, 12 dari Sarawak yang terkandas di sana untuk kembali ke tanah air hari ini.
Usahasama ini adalah di antara MHC dan Suruhanjaya Tinggi Nigeria di Kuala Lumpur yang disokong oleh kedua-dua negara.
Penerbangan membawa pulang warga Malaysia ini menerusi syarikat penerbangan Nigeria akan berlepas dari Lagos ke Kuala Lumpur dan dijangka tiba pada 11 Julai jam 10 pagi.
Kebanyakan warga Malaysia yang akan kembali ini bekerja di sektor minyak dan gas di Nigeria dan Afrika Barat. Selain dari warga Malaysia, warga dari negara lain termasuk dari Indonesia, Filipina, Australia dan Thailand juga akan menaiki penerbangan tersebut ke KLIA sebagai satu transit sebelum mereka mengambil penerbangan pulang ke negara masing-masing.
Ramai yang telah terkandas selama lebih dari enam bulan dan kehilangan kerja akibat pandemik Covid 19 yang menyebabkan semua penerbangan dibatalkan.
Penerbangan membawa pulang warga Malaysia ini adalah yang kedua setelah penerbangan pertama dibuat pada 22 Jun yang lalu menerusi penerbangan Emirates yang merupakan satu penerbangan pertukaran di mana lebih dari 200 warga Nigeria di Malaysia dihantar pulang ke negara pada 11 Julai.
Oleh Connie Chieng