KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Pantai Damai tidak akan melakukan persiapan pilihan raya pada saat-saat akhir.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia penting untuk memastikan perjalanan pilihan raya berjalan lancar dan cabaran luar dapat ditangkis secara berkesan.
Malah menurutnya, budaya kerja jentera PBB Cawangan Pantai Damai sejak dahulu lagi memang sentiasa bersedia awal bagi menghadapi mana-mana pilihan raya.
“Walaupun kita belum tahu tarikh pilihan raya negeri akan datang, kita perlu sentiasa bersedia.
“Janganlah kita membuat persiapan saat akhir atau selepas tarikh pilihan raya diumumkan, ia akan mendatangkan masalah kepada kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi Randau GPS-PBB DUN N.4 Pantai Damai di Kampung Pasir Pandak malam semalam.
Kampung Pasir Pandak menjadi Pusat Tempat Mengundi (PTM) kedua sesi randau tersebut selepas PTM Jaya Bakti pada Sabtu lepas.
Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai menjelaskan, persiapan awal juga penting agar setiap jentera mengetahui mengenai pendekatan parti.
“Ini adalah langkah yang perlu kita ambil untuk memastikan jentera kita mendapat pemahaman mendalam mengenai perjuangan parti.
“Ia sekaligus dapat membantu jentera kita untuk menangkis tohmahan pihak luar terutama elemen negatif yang cuba dibawa,” ujarnya.
Sementara itu menurutnya, kerjasama yang mantap antara jentera pilihan raya peringkat cawangan dan ranting amat penting untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pilihan raya yang akan datang.
“Kita juga dikenalpasti sebagai kubu kuat dan digelar kawasan putih. Namun ia tidak sepatutnya membuat kita selesa dan jentera masih perlu bekerja keras,” jelasnya.
Hadir sama Timbalan Ketua PBB Cawangan Pantai Damai Drahman Jaladin dan Setiausaha PBB Cawangan Pantai Damai Merdehi Mas.
Oleh Diyana Samsuddin