
PETRA JAYA: Kuching City FC berjaya membenam cabaran Selangor FC menerusi jaringan 2-1 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Negeri, sebentar tadi.
Dengan kemenangan itu, skuad The Cats terus mengukuhkan kedudukan kelompok empat teratas Liga Super musim ini.
Kedua-dua pasukan turun dengan misi mempertahankan rekod tanpa kalah masing-masing dengan gergasi Merah Kuning belum tewas dalam 16 aksi semua kejohanan manakala Kuching dengan tujuh perlawanan.
Nooa Laine diberi tanggungjawab mengetuai Selangor sambal Gandingan Tchetche Kipre, Shamie Iszuan Amin dan Ramadhan Saifullah terus menjadi sandaran tuan rumah.
Separuh masa pertama menyaksikan pelawat yang dibimbing Katsuhito Kinoshi bergelut menembusi barisan pertahanan tuan rumah.
Selangor yang menggunakan formasi 3-4-3 dilihat buntu mencari ruang menembusi gawang Kuching City yang dikawal Shahril Saari.
Keadaan sedikit panas antara kedua-dua pasukan apabila Shahril dilihat bertelagah dengan pemain tengah Selangor, Yohandry Orozco.
Selepas berjaya mengawal keadaan, pengadil Nazmi Nasaruddin melayangkan kad kuning kepada penjaga gol berusia 35 tahun itu pada minit ke-23.
Selepas itu, penyokong Kuching City ceria apabila Ramadhan menyumbat gol pendahuluan pada minit ke-26. Ini gol ketiganya sejak menyertai The Cats secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT).
Pasukan pelawat berusaha mencari jaringan penyamaan namun keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bermula babak kedua, hujan lebat mula membasahi Stadium Negeri namun ia tidak menjejaskan rentak permainan kedua-dua pasukan.
Selangor membuat dua pertukaran dengan memasukkan Mukhairi Ajmal dan Zikri Khalili menggantikan Faisal Halim dan Orozco.
Kem Merah Kuning ceria apabila Mukhairi menewaskan Shahril pada minit ke-51 selepas menerima hantaran Alvin Fortes.
Dua minit selepas itu, Ramadhan hampir meletakkan Kuching City di hadapan buat kali kedua tetapi percubaan pemain itu dinafikan Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi sebelum bola muntah dikeluarkan Sharul Nazeem Zulpakar.
The Cats akhirnya mendapat gol kedua menerusi Jimmy Raymond selepas sepakan gagal dibaca dengan tepat oleh Kalamullah sebelum menerjah jaring pada minit ke-85.
Selangor terus mengasak tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini sudah cukup untuk membantu Kuching City memintas Sabah FC di tangga ketiga liga.
Meskipun kedua-dua pasukan berkongsi 36 mata, The Cats memiliki kelebihan bolos yang sedikit berbanding Sang Badak. Merah Kuning kekal di tangga kedua dengan 46 mata.