
KUCHING: Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU) menganjurkan Program Agihan Bubur Pedas sempena Ramadan sebagai usaha memperkukuh semangat kebersamaan dan menghargai dedikasi penjawat awam di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.
STIU menerusi satu kenyataan berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini bukan sekadar pengagihan makanan, tetapi juga simbol penghargaan terhadap sumbangan warga perkhidmatan awam Sarawak dalam menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat.
Dengan tema ’Sinar Ramadan, Eratkan Ikatan, Kukuhkan Amalan, Semai Keinsafan’, program tersebut berjaya mengedarkan 1,050 bekas bubur pedas kepada warga kerja di Wisma Bapa Malaysia.
Bubur pedas, hidangan tradisi masyarakat Sarawak, bukan sahaja menjadi juadah berbuka puasa tetapi turut mencerminkan warisan budaya dan semangat gotong-royong yang terus dipelihara.



Pengarah STIU, Superi Awang Said berkata inisiatif ini lebih daripada sekadar aktiviti CSR, sebaliknya merupakan tanda penghargaan kepada dedikasi penjawat awam.
“Kami ingin mewujudkan suasana kerja yang lebih harmoni dan penuh kebersamaan melalui aktiviti seperti ini. Bubur pedas yang diagihkan adalah simbol penghormatan kepada usaha gigih warga kerja kerajaan serta mengingatkan kita akan nilai perpaduan dalam masyarakat,” katanya.
Program ini bukan sahaja menyemarakkan semangat Ramadan tetapi turut memperkukuhkan hubungan antara warga kerja di Wisma Bapa Malaysia, sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri dalam memperkukuh budaya kerja yang inklusif dan prihatin.
Oleh Rynna Sha’erra