
KUCHING: Kementerian Pengangkutan (MOTS) mengumumkan bahawa tiga syarikat penerbangan utama, Malaysia Airlines (MAS), AirAsia, dan Batik Air, akan menambah jumlah penerbangan antara Kuala Lumpur dan bandar-bandar utama di Sarawak bagi memenuhi permintaan tinggi sempena Aidilfitri.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin, berkata kementeriannya telah berunding dengan ketiga-tiga syarikat penerbangan itu untuk menyediakan penerbangan tambahan antara 26 Mac hingga 6 April 2025.
Menurutnya, langkah ini diambil bagi mengurangkan kesesakan perjalanan serta memastikan rakyat Sarawak dapat pulang ke kampung halaman untuk menyambut perayaan bersama keluarga.
Batik Air akan menyediakan tiga penerbangan tambahan setiap hari bagi laluan Kuala Lumpur-Kuching dan dua penerbangan tambahan bagi laluan Kuala Lumpur-Sibu dari 26 hingga 31 Mac.
Malaysia Airlines pula akan menambah satu penerbangan tambahan setiap hari bagi laluan Kuala Lumpur-Kuching, Kuala Lumpur-Miri, Kuala Lumpur-Sibu dan Kuala Lumpur-Bintulu pada 28 dan 29 Mac.
Selain itu, pada 4 dan 5 April, satu penerbangan tambahan akan disediakan bagi laluan Kuala Lumpur-Kuching, manakala pada 5 dan 6 April, tambahan satu penerbangan akan disediakan bagi laluan Kuala Lumpur-Miri, Kuala Lumpur-Sibu dan Kuala Lumpur-Bintulu.
AirAsia turut menambah kapasiti penerbangan dengan menyediakan satu penerbangan tambahan setiap hari bagi laluan Kuala Lumpur-Kuching dari 29 Mac hingga 4 April, Kuala Lumpur-Sibu dari 30 Mac hingga 4 April, Kuala Lumpur-Miri dari 28 Mac hingga 4 April, dan Kuala Lumpur-Bintulu dari 30 Mac hingga 2 April.
Tambahan satu penerbangan turut disediakan bagi laluan Johor-Sibu pada 4 April dan Johor-Kuching dari 31 Mac hingga 4 April.
Lee menegaskan bahawa tambahan penerbangan ini akan membantu mengurangkan kesesakan perjalanan dan memastikan rakyat Sarawak dapat pulang ke kampung halaman dengan lebih selesa.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MAS, AirAsia dan Batik Air atas kerjasama mereka dalam memenuhi keperluan perjalanan orang ramai sempena musim perayaan.
“Kementerian Pengangkutan Sarawak akan terus bekerjasama dengan syarikat penerbangan utama bagi memastikan kapasiti penerbangan mencukupi untuk memenuhi permintaan penumpang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut menggalakkan orang ramai untuk menempah tiket lebih awal bagi memastikan kelancaran perjalanan mereka sepanjang musim perayaan ini.