
SIBU: Dua lelaki dicekup kerana memiliki selaras senapang patah buatan sendiri dan dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Ladang Lengan, Jalan Batang Lebaan, Tanjung Manis, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, serbuan dijalankan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu pada 2.50 petang.
“Hasil serbuan, dua suspek berusia antara 20 hingga 35 tahun berjaya ditangkap.
“Polis turut merampas selaras senapang patah buatan sendiri, enam butir peluru 12 gauge serta dadah jenis syabu seberat 6.18 gram,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
“Jika sabit kesalahan, Seksyen 39(A) akta berkenaan memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan tiga sebatan mandatori, manakala Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000, atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.
Susulan itu, katanya, kedua-dua suspek telah direman di Mahkamah Sibu pada 10 Mac bagi membantu siasatan lanjut.
Zulkipli menggesa orang ramai agar menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan pemilikan senjata api tanpa lesen dan penyalahgunaan dadah bagi memastikan kesejahteraan serta keselamatan masyarakat terus terpelihara.
Oleh Tarani Lanting