Dua individu disyaki positif dadah ditahan di pusat hiburan

Facebook
WhatsApp
PERIKSA... Sebahagian daripada 10 individu, terdiri daripada lelaki dan wanita, diperiksa bagi mengesan kegiatan penyalahgunaan dadah di premis hiburan berkenaan.

MIRI, 21 Oktober: Polis menahan dua individu yang disyaki positif dadah ketika menjalankan operasi pemeriksaan di sebuah pusat hiburan di Pekan Sepupok, Niah, kelmarin.

Menurut kenyataan Polis Daerah Miri hari ini, operasi berkenaan turut menyaksikan seramai 10 individu, terdiri daripada lelaki dan wanita, diperiksa bagi mengesan kegiatan penyalahgunaan dadah di premis hiburan berkenaan.

Hasil pemeriksaan dan ujian saringan awal air kencing mendapati dua individu terbabit positif dadah sebelum mereka ditahan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kenyataan berkaitan operasi itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakamkan penghargaan kepada orang awam atas kerjasama dan maklumat yang disalurkan sehingga membantu menjayakan operasi berkenaan.

PDRM turut menegaskan komitmen untuk meneruskan pemantauan serta operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras penyalahgunaan dadah, khususnya di premis hiburan.

Usaha itu penting bagi memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat setempat terus terpelihara.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penyalahgunaan atau pengedaran dadah boleh menghubungi Hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di talian 012-208 7222 atau Hotline JSJN IPK Sarawak di 017-592 9211.