TATAU: Penduduk rumah panjang yang mahu mendirikan rumah panjang baharu dinasihatkan untuk membuat pemilihan tapak yang sesuai.
Menteri Muda Undang-Undang dan Adat Bumiputera merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus, Datuk John Sikie Tayai berkata, pemilihan tapak sesuai penting bagi mengelak berlakunya bencana yang tidak diingini termasuk terdedah banjir dan tanah runtuh.
“Bagi penduduk rumah panjang yang mahu mendirikan rumah panjang baharu diingatkan supaya memilih tapak di kawasan yang tidak terdedah dengan bencana seperti banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa meninjau pelaksanaan projek di kawasan Sungai Bawang, Sungai Tau dan Sungai Anak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus, di sini semalam.
Menurutnya, beliau menerima banyak permohonan untuk meratakan tapak rumah panjang baharu.
“Ini berikutan rumah panjang tersebut terdedah dengan bencana banjir khususnya banjir besar yang telah berlaku pada awal 2018,” katanya.
“Dalam kejadian bencana tersebut menyebabkan kerugian kepada penduduk dan menyebabkan banyak yang memohon untuk merata tapak bagi mendirikan rumah panjang baharu,” katanya.
Sehubungan itu katanya, masalah tersebut berlaku kerana pada masa dahulu sebelum adanya jaringan jalan raya kebanyakan rumah panjang didirikan di tepi sungai.
“Rumah panjang kebanyakannya didirikan berdekatan sungai disebabkan dahulu laluan sungai adalah perhubungan utama dan inilah yang menyebabkan rumah panjang sering dilanda banjir,” katanya.
Hadir sama dalam lawatan kerja beliau ialah pegawai kanan Pejabat Daerah Tatau dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sibu.
Oleh Ellie Edward