MMM ingatkan media lindungi identiti individu bawah umur

Facebook
WhatsApp
MMM menegaskan media perlu melindungi identiti individu bawah umur, sama ada suspek, mangsa atau saksi.

KUALA LUMPUR, 23 Oktober: Majlis Media Malaysia (MMM) hari ini mengingatkan organisasi media supaya tidak menyiarkan butiran atau kandungan media sosial yang belum disahkan hingga boleh mendedahkan secara langsung atau tidak langsung identiti individu bawah umur terlibat dalam sesuatu insiden, sama ada sebagai suspek, mangsa atau saksi.

MMM memaklumkan berdasarkan Klausa 9.3 Kod Tatalaku, kepentingan individu bawah umur 18 tahun perlu dilindungi dan hanya boleh diketepikan sekiranya terdapat kepentingan awam yang luar biasa.

“Maklumat yang menarik perhatian orang ramai tidak semestinya memenuhi kepentingan awam,” menurut kenyataan MMM hari ini.

MMM  memaklumkan insiden membabitkan individu bawah umur, khususnya di sekolah sememangnya menjadi perkara yang wajar mendapat perhatian awam namun, tanggungjawab untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat perlu diseimbangkan dengan kemungkinan kemudaratan terhadap individu terlibat.

Menurut kenyataan itu, Klausa 4.3 menetapkan nama, gambar serta lokasi yang boleh mendedahkan identiti suspek juvana atau individu mempunyai kaitan dengan siasatan tidak boleh diterbitkan atau disiarkan.

MMM turut mengingatkan bahawa butiran seperti umur, kelas, latar belakang keluarga dan akaun media sosial seseorang kanak-kanak boleh secara tidak langsung mendedahkan identiti mereka.

“Bahan yang tersebar di media sosial dan platform pemesejan, termasuk nota peribadi, mesej, tangkap layar, gambar serta video yang didakwa membabitkan atau berasal daripada individu bawah umur, tidak boleh dilaporkan sebagai fakta tanpa pengesahan sewajarnya mengenai sumber dan kesahihannya,” menurut MMM.

Majlis berkenaan memaklumkan berdasarkan Klausa 1.6, maklumat yang belum disahkan hanya boleh dilaporkan sekiranya terdapat kepentingan awam, usaha munasabah untuk mengesahkannya telah dilakukan dan maklumat berkenaan dinyatakan dengan jelas sebagai belum disahkan.

“Laporan sedemikian tidak boleh disertai spekulasi atau kesimpulan yang mengelirukan,” menurut kenyataan itu.

Organisasi media turut diingatkan supaya menghormati prinsip anggapan tidak bersalah, mengelakkan sensasi, bersikap prihatin ketika menemu bual keluarga terjejas serta menyemak dan membetulkan laporan terdahulu yang melanggar Kod Tatalaku berkenaan.

Orang ramai yang terkesan secara langsung akibat laporan media, yang mungkin melanggar kod itu boleh mengemukakan aduan menerusi Mekanisme Aduan MMM. -Bernama

PRN: DUN Sarawak bubar Isnin ini

PETRA JAYA, 23 Oktober: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dibubarkan secara rasmi Isnin ini oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi