
SIBU: Ketua masyarakat adalah pemimpin di peringkat akar umbi sekali gus memainkan peranan penting sebagai ejen perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Pusat, Kevin Lau berkata, mereka memainkan peranan penting dalam membawa segenap lapisan masyarakat untuk menggalakan keharmonian.
“Saya berharap pemimpin masyarakat bukan sahaja berkhidmat kepada penduduk kampung dan orang warga emas, tetapi perkara yang paling penting ialah membawa semua orang bersama-sama dan menggalakkan keharmonian sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis sambutan Hari Wanita yang dianjurkan oleh Wanita SUPP Cawangan Bawang Assan dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Igu, hari ini.
Program tersebut mempamerkan pertandingan memasak hampir 30 hidangan yang disediakan oleh penduduk menggunakan ayam sebagai bahan utama.
Kevin yang juga Pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan berkata, terdapat tiga Kapitan wanita di kawasan Bawang Assan yang masing-masing memainkan peranan penting dalam masyarakat.
“Mereka bukan sahaja berkhidmat kepada masyarakat, malah diharap agar dapat meningkatkan taraf kehidupan penduduk di kawasan masing-masing,” katanya.
Justeru, beliau berharap semua orang dapat menyokong mereka (tiga kapitan wanita) dan bersama-sama membina masyarakat yang lebih penyayang.
Kevin turut mengucapkan terima kasih kepada Kapitan Kapitan Tang Chuo Ging atas usahanya memohon bantuan daripada agensi kerajaan yang berkaitan dan membenarkan lebih 30 keluarga masyarakat setempat menyertai program ternakan ayam.
“Program ternakan ayam tersebut seterusnya dapat membantu kehidupan keluarga yang menyertainya,” kata beliau.
Menyentuh tentang sambutan Hari Wanita, beliau berkata, wanita memainkan peranan penting dan memberi sumbangan serta pengorbanan kepada masyarakat.
“Hari Wanita bukan sahaja menyokong layanan adil kepada wanita, tetapi juga membenarkan semua orang supaya terus menyokong dan menggalakkan wanita untuk bangkit,” katanya.
Turut hadir ialah Pengerusi Kehormat SUPP Cawangan Bawang Assan, Senator Robert Lau Hui Yew.
Oleh Akun Giman