Racing Bulls kekalkan Lawson, Lindblad untuk musim F1 2027

Facebook
WhatsApp
LIAM Lawson dan Arvid Lindblad akan terus mewakili pasukan Racing Bulls bagi saingan Formula Satu (F1) musim 2027. Foto F1

BERLIN, 12 November: Racing Bulls hari ini mengesahkan bahawa pasukan itu akan mengekalkan Liam Lawson dan Arvid Lindblad sebagai pelumbanya bagi saingan Formula Satu (F1) musim 2027 selepas kedua-duanya menandatangani kontrak baharu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Masa depan Lawson bersama pasukan itu menjadi bahan spekulasi sejak kebelakangan ini apabila pelumba muda Red Bull, Nikola Tsolov, disebut-sebut sebagai calon penggantinya.

Lawson dinaikkan pangkat ke pasukan utama Red Bull pada 2025, namun dikembalikan ke Racing Bulls selepas hanya dua perlumbaan susulan prestasinya yang kurang memberangsangkan.

“Saya amat gembira dapat meneruskan kerjaya bersama Racing Bulls pada tahun depan. Kami mengharungi musim yang cemerlang bersama dan pasukan telah bekerja keras menghasilkan jentera yang pantas,” kata Lawson.

Lindblad pula membuat penampilan sulung dalam F1 tahun ini selepas menggantikan Isack Hadjar yang dinaikkan pangkat ke Red Bull.

“Saya tidak sabar untuk memulakan saingan tahun depan dengan memanfaatkan segala yang dipelajari sepanjang musim pertama saya. Ia dijangka menjadi tahun yang menarik dan saya berharap dapat terus berlumba bersama Liam,” katanya.

Dengan baki tiga perlumbaan musim ini, Racing Bulls kini berada di kedudukan kelima dalam kejuaraan pengeluar.

Mercedes telah pun dinobatkan sebagai juara pengeluar, manakala pelumbanya, Kimi Antonelli, merangkul gelaran juara dunia kategori pemandu. – Bernama