
MUKAH: Program Jerayawara Bubur Lambuk anjuran Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) Cawangan Tellian berlangsung dengan meriah di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat Tellian, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine hadir bagi menyempurnakan program tersebut, yang bermula pada 2.00 petang.
Sebanyak 1,000 bungkus bubur lambuk telah diagihkan kepada penduduk sekitar, termasuk kepada jemaah yang baru selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Setia Raja Mukah.
Menurut Royston, program seperti itu bukan sahaja mengeratkan hubungan masyarakat tetapi juga mencerminkan semangat gotong-royong dalam kalangan penduduk setempat, terutama semasa Ramadan yang penuh keberkatan.
Program itu turut mendapat sokongan daripada pelbagai pihak, termasuk Pergerakan Pemuda dan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tellian, Skuad Antidadah Daerah Mukah, Kelab Trendak, Pertubuhan Belia Parlimen Mukah dan WEIDA. – UKAS