Dua isu utiliti di Lawas diberi perhatian kerajaan untuk ditangani

Facebook
WhatsApp
AMBIL MAKLUM... Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan diiringi Awangku Jinal Abedin melawat Loji Bekalan Air Utama Lawas di Trusan baru-baru ini.

LAWAS: Isu gangguan bekalan air dan perkhidmatan telekomunikasi yang berlarutan di Lawas mendapat perhatian kerajaan untuk ditangani segera.

Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, ketika dihubungi berkata, kedua-dua isu utama berkenaan telah dibawa untuk tindakan kementerian yang bertanggungjawab.

“Kita telah ambil maklum dan dua isu ini memang telah mendapat perhatian serius kerajaan dan dua minggu lalu Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan telah melawat loji bekalan air utama di Trusan.

Kita telah diberi taklimat dan melihat keadaan di lokasi. Malahan tindakan segera diambil untuk mengali pasir yang menutup kawasan tadahan loji.

Bagi jangka panjang pihak JBALB (Jabatan Bekalan Air Luar Bandar) telah merancang memindahkan kawasan pengambilan air di tapak baharu berhampiran Long Tengoa.

“Untuk isu telekomunikasi pula, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan telah meminta pihak Sacofa untuk segera menghantar pasukan teknikal bagi membaiki masalah telekomunikasi di Lawas, ” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak hari ini.

Awangku Jinal Abedin juga memaklumkan bahawa beliau sendiri turut melakukan susulan terhadap dua isu ini dan meminta jurutera kedua-dua agensi iaitu JBALB dan SACOFA untuk bertindak segera.

Apapun beliau mahu agar agensi terlibat untuk lebih telus dan inklusif dalam memberi maklumat kepada orang awam berhubung isu-isu yang menimbulkan kemarahan rakyat di Lawas.

Oleh Adeng Edrus