SIMANGGANG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak melalui JPJ Cawangan Sri Aman menyertai Ops Bersepadu anjuran Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman bagi mengesan pemilik kenderaan terbiar di sekitar Bandar Simanggang, hari ini.
Operasi berkenaan memberi tumpuan kepada kenderaan yang telah ditinggalkan dalam tempoh lama, selain berada dalam keadaan using serta tidak lagi digunakan.
Menurut kenyataan media JPJ Sarawak, usaha bersepadu itu penting bagi membantu memastikan kawasan bandar sentiasa bersih, selamat dan teratur, selain mengelakkan kenderaan terbiar daripada mengganggu kepentingan awam.
JPJ Sarawak berkata, operasi berkenaan diharap dapat membantu menyelesaikan isu kenderaan terbiar yang dikenal pasti di sekitar kawasan berkenaan.


JPJ Cawangan Sri Aman menyertai Ops Bersepadu anjuran MDSA dengan kerjasama IPD Sri Aman bagi mengesan pemilik kenderaan terbiar di sekitar Bandar Simanggang, hari ini. Foto JPJ Sarawak
Pemilik kenderaan yang berkaitan turut diseru supaya segera tampil memberikan kerjasama dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap kenderaan masing-masing.
“Kerjasama dan keprihatinan pemilik kenderaan amat penting bagi memastikan sebarang isu berkaitan kenderaan terbiar dapat diselesaikan dengan baik,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, kegagalan mengambil tindakan sewajarnya boleh menyebabkan tindakan lanjut diambil oleh pihak berkuasa mengikut bidang kuasa dan peruntukan undang-undang agensi masing-masing.
JPJ Sarawak turut merakamkan penghargaan kepada MDSA atas jemputan dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan operasi berkenaan.
Penghargaan turut diberikan kepada IPD Sri Aman atas komitmen serta kerjasama dalam memastikan Ops Bersepadu itu dapat dilaksanakan dengan lancar.
Oleh Adi Safarman





