Dua tahun mengejar semula takhta, Sharzan-Nursharzyra akhirnya tebus kekecewaan

Facebook
WhatsApp
AWANG Sharzan Nasrin dan Dayang Nursharzyra ketika upacara penyerahan pingat acara 3 Meter (3m) Papan Anjal Seirama Campuran di Pusat Akuatik Darul Ehsan, di Shah Alam hari ini.

SHAH ALAM: Selepas dua tahun menanti dan melalui beberapa kekecewaan di pentas kebangsaan serta antarabangsa, gandingan adik-beradik Awang Sharzan Nasrin dan Dayang Nursharzyra akhirnya berjaya merampas semula takhta mereka apabila meraih pingat emas acara 3 Meter (3m) Papan Anjal Seirama Campuran pada Sukan Malaysia (Sukma) XXII Selangor 2026, hari ini.

Sharzan berkata kejayaan di Pusat Akuatik Darul Ehsan itu cukup bermakna kerana mereka sebelum ini pernah memenangi emas pada Sukma 2024, namun gagal mengekalkan kejuaraan dalam beberapa pertandingan selepas itu.

“Pertama sekali saya rasa bersyukur kerana kami sudah menang sejak Sukma 2024, tetapi selepas itu kami terus kalah. Jadi, kami datang dengan misi untuk mengambil semula takhta kami dan hari ini kami berjaya melakukannya.

“Saya rasa puas hati kerana berjaya mendapatkan semula takhta dan saya sangat gembira,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan.

Menurut Nursharzyra, kekalahan yang dialami mereka selepas Sukma 2024 berlaku dalam beberapa pertandingan di Malaysia, termasuk ketika berdepan wakil negeri lain.

Katanya, tempoh dua tahun berkenaan banyak diisi dengan latihan seperti atlet lain, selain memberi perhatian kepada peningkatan tahap kesukaran terjunan.

“Kami cuma berlatih. Kami tidak ada masalah untuk melompat bersama atau dari segi keserasian. Cuma kami meningkatkan tahap kesukaran terjunan.

“Kami buat terjunan baharu termasuk 2 1/2 putaran untuk 5B dan 552… putaran, jadi tahap kesukaran (DD) itu menjadi lebih tinggi,” katanya.

Bagaimanapun, Nursharzyra berkata peningkatan tahap kesukaran semata-mata tidak menjamin kejayaan, sebaliknya pelaksanaan terjunan yang lebih baik menjadi faktor penting untuk mereka menamatkan saingan sebagai juara kali ini.

“Dalam pertandingan sebelum ini kami juga menggunakan tahap kesukaran yang sama, tetapi akhirnya persembahan tidak begitu baik. Jadi, untuk pertandingan ini kami menggunakan tahap kesukaran yang sama, cuma melakukannya dengan lebih baik. Sebab itu kami menang,” katanya.

Kejayaan tersebut turut membawa makna berbeza buat Sharzan apabila Sukma XXII menjadi penampilan terakhirnya dalam temasya berkenaan, manakala Nursharzyra masih mempunyai satu lagi edisi Sukma selepas ini.

Ketika ditanya mengenai calon pasangan baharunya pada masa depan, Nursharzyra berseloroh bahawa perkara itu masih perlu difikirkan memandangkan tiada lagi saudara-mara mereka yang terlibat dalam sukan terjun.

“Malangnya, tiada saudara-mara lain yang dalam sukan terjun. Dia (Sharzan) sahaja,” katanya sambil ketawa.

Sharzan yang menganggap acara campuran sebagai kegemarannya pula kini mengalihkan fokus kepada sasaran baharu di pentas antarabangsa selepas berakhirnya Sukma.

Beliau menyasarkan untuk menyertai Sukan SEA selain kejohanan Hong Kong Terbuka, namun perlu memenuhi kelayakan Masa Kelayakan Sukan (MQS) Senior beberapa kali bagi membolehkan dirinya dipilih ke Sukan SEA.

“Kalau saya mahu menyertai Sukan SEA, saya perlu mencapai MQS Senior beberapa kali. Sekarang saya baru mencapainya sekali.

“Insya-Allah, kalau ada rezeki boleh. Tetapi saya akan terus mencuba dan bekerja lebih keras untuk layak mewakili Malaysia ke Sukan SEA,” katanya.

Bagi Sharzan, kejayaan meraih emas pada Sukma terakhirnya menjadi penutup manis sebelum beliau memburu cabaran lebih besar di pentas antarabangsa.

Oleh Shahrul Qaizat