LIMBANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang, meluangkan masa melawat sebuah keluarga yang terjejas akibat kejadian ribut kuat yang melanda beberapa kawasan di bandar Limbang sekitar 2.00 petang semalam.
Bencana angin kencang tersebut menerbangkan sebahagian atap rumah mangsa sehingga menyebabkan kebocoran yang serius pada struktur rumah.

Paulus hadir memberikan sokongan moral dan semangat kepada mangsa serta ahli keluarga dalam menghadapi ujian berkenaan.
Turut mengiringi beliau, Kaunselor Aaron Rachel dan Endrawati Tuah, pegawai UKAS Limbang.
Paulus turut merakamkan ucapan terima kasih kepada komuniti setempat, termasuk saudara-mara dan jiran terdekat, yang bertindak pantas bergotong-royong memasang atap sementara bagi menutup bahagian yang mengalami kebocoran.
Pihak Pusat Khidmat DUN Batu Danau turut membantu selain agensi kerajaan lain yang ada di Limbang.
Oleh Adeng Edrus





