
LIMBANG: Akibat masalah ekonomi, sebuah keluarga dari Kampung Pengkalan Rejab merayu bantuan kerajaan untuk membaik pulih jambatan yang menuju ke rumah mereka, yang kini hampir roboh dan tidak selamat untuk dilalui.
Omar Osman, 65, memberitahu, mereka telah buntu dalam usaha mendapatkan bantuan untuk membaiki jambatan yang rosak, uzur, dan berlubang sejak empat bulan yang lalu.
Katanya, struktur jambatan yang uzur dan lama selain berlubang menyebabkan anak mereka pernah terjatuh ketika melalui jambatan kayu berkenaan.
Selain itu masalah kerosakan jambatan itu sudah diadukan kepada pihak berkaitan namun tiada jawapan sehingga kini.
“Saya merayu dan meminta tolong dengan segera sebab jambatan menuju rumah kami hampir roboh dan tidak selamat lagi untuk dilalui,” katanya kepada media hari ini.
Omar memberitahu, mereka sekeluarga sudah lama menunggu pihak berkaitan untuk membaiki jambatan itu namun hampa.
“Anak kedua saya pernah terjatuh ketika melalui jambatan tersebut, keadaan jambatan memang tidak selamat lagi untuk dilalui,”katanya.
Katanya, kerosakan pada struktur bawah jambatan itu disedari oleh mereka yang berulang-alik menggunakan laluan tersebut setiap hari.
“Kami bimbang jambatan itu mungkin runtuh bila-bila masa sekiranya kerja-kerja pembaikan tidak dilakukan selain mengelak insiden tidak diingini berlaku,” jelas beliau lagi.
Oleh Adeng Edrus