KUCHING: Jentera Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Pantai Damai digesa supaya bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung pada bila-bila masa.
Naib Presiden PBB, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, aspek penting yang perlu diberi perhatian adalah melibatkan kerjasama antara kepimpinan PBB diperingkat cawangan dan ranting.
Menurutnya, tarikh PRN berkemungkinan dalam masa terdekat ini memandangkan tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan tamat pada April tahun depan.
“Apa yang perlu kita buat sekarang adalah untuk mempersiapkan jentera bagi menghadapi PRN akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Randau Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Kampung Jaya Bakti semalam.
Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai menjelaskan, ini merupakan kali pertama pilihan raya berlangsung di bawah kepimpinan Abang Johari.
“Jadi kita hendaklaj pastikan PBB berjaya dengan cemerlang dan Ketua Menteri (Abang Johari) kembali diberi mandat untuk mentadbir negeri ini,” ujarnya.
Menurutnya lagi, setiap kali pilihan raya, cabaran sudah pasti ada terutama melibatkan parti lawan yang berusaha untuk mencabar kedudukan PBB di kawasan DUN Pantai Damai.
“Untuk menangkis cabaran ini, kita perlu memperkuatkan jentera untuk menghadapi sesiapa sahaja yang cuba untuk memasuki kawasan kita,” jelasnya.
Dr Abdul Rahman menambah, keputusan cemerlang yang dilakar sebelum ini tidak sepatutnya menjadi jentera mengambil remeh cabaran lawan.
“Kita tidak boleh memandang rendah cabaran lawan sebaliknya kita perlu memastikan orang ramai turun mengundi dan mengundi calon kita,” kata Dr Abdul Rahman.
Hadir sama Setiausaha PBB Cawangan Pantai Damai Merdehi Mas dan Ketua PBB Ranting Kampung Jaya Bakti Sulaiman Mon.
Oleh Diyana Samsuddin