
LIMBANG: Pembekal barang keperluan harian seperti tong gas petroleum cecair (LPG), gula, tepung dan minyak masak di Limbang perlu memastikan bekalan mencukupi dan tidak terputus sepanjang Ramadan ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata beliau tidak mahu pembekal hanya bertindak menghantar bekalan keperluan setelah disuarakan oleh wakil rakyat di sini.
“Saya menggesa agensi yang dipertanggungjawabkan memantau perkara tersebut agar bertindak dengan lebih proaktif, jangan nanti rakyat memuat naik ke media sosial atau wakil rakyat bersuara barulah mereka bertindak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Pemimpin Bersama Rakyat dan majlis Penyampaian Outright Grant (OG) Masjid dan Surau Daerah Limbang, hari ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Limbang itu turut menambah bahawa Jalan Meritam-Telahak-Buangabai-Pengkalan Rejab Fasa 3 kini mempunyai kontraktor baharu manakala projek pembinaan Bangunan GiatMARA Limbang berjalan lancar.
“Bangunan baharu Pejabat JPJ Cawangan Limbang pula kini masih di peringkat reka bentuk.
“Bangunan ini sepatutnya sudah ditender pada Januari, tetapi saya kurang berpuas hati dengan reka bentuknya dan ia sedang diperbaiki sebelum dibuka untuk tender,” jelasnya.

Pada majlis tersebut, beliau telah menyampaikan ‘Outright Grant’ berjumlah RM272,000 melibatkan 10 masjid, 53 surau kampung dan sebuah madrasah.
Beliau juga berharap peruntukan tersebut dapat digunakan sebaiknya untuk aktiviti pengimarahan masjid dan surau-surau sepanjang Ramadan ini. – UKAS