
SIBU: Kerja pembaikan paip utama keluli lembut berdiameter 750mm yang bocor di hadapan Bangunan Persatuan Foochow, Jalan Salim, mengalami kelewatan berikutan kerosakan pada kabel utiliti di kawasan tersebut.
Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Clarence Ting, memaklumkan bahawa kerja pembaikan sepatutnya siap pada 7.00 pagi ini, namun situasi di tapak lebih rumit daripada jangkaan.
“Parit di kawasan itu lebih daripada 10 kaki dalam dan kebocoran berlaku pada paip yang belum pernah dibaiki sebelum ini. Ia menjadikan proses pembaikan lebih mencabar,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Menurutnya, ketika beliau tiba di lokasi, pasukan teknikal masih mengepam air keluar dari kawasan tersebut sebelum dapat memulakan kerja menutup retakan.
Sementara itu, Lembaga Air Sibu (LAS) dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa kerja pembaikan itu tertangguh kerana pihak mereka perlu memberi laluan kepada penyedia utiliti berkaitan untuk membaiki kabel yang terjejas sebelum kerja pembaikan paip boleh disambung semula.
“Situasi ini menyebabkan kelewatan dianggarkan selama lapan jam sebelum kerja-kerja dapat diteruskan,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, LAS memberi jaminan bahawa pasukan teknikal akan segera menyambung kerja sebaik sahaja isu utiliti diselesaikan.
“Kami memahami kesulitan yang dialami penduduk akibat kelewatan ini dan menghargai kesabaran serta kerjasama semua pihak,” katanya.
OLeh Tarani Lanting