
Patrick (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Tuai Rumah Beji di Pejabat Daerah Sebauh hari ini.
SEBAUH: Mangsa kebakaran Rumah Beji Utek di Sungai Kelabat, Pandan di sini menerima bantuan kewangan dari Jutawalet Service and Trading sebagai sebahagian usaha syarikat itu membantu komuniti yang terjejas akibat bencana.
Setiap ketua isi rumah (KIR) menerima sumbangan tunai sebanyak RM1,000, manakala RM1,000 disalurkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Beji.
Selain itu, sebanyak RM2,000 turut disumbangkan kepada Biro Wanita rumah panjang berkenaan.
Pengarah Jutawalet Service and Trading, Patrick Jenau menyampaikan sumbangan tersebut dalam satu majlis ringkas yang turut dihadiri Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Collin Patan, dan Pegawai Daerah Sebauh, Thaddeus Ling Bartholomew Allu di Pejabat Daerah Sebauh hari ini.
Patrick berkata, bantuan itu adalah sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat dalam membantu mangsa bencana kembali bangkit.
“Kami sedar, kehilangan tempat tinggal bukanlah perkara mudah.
“Dengan bantuan ini, kami harap ia dapat memberi sedikit kelegaan dan membantu mereka meneruskan kehidupan,” katanya.
Sementara itu, Tuai Rumah Beji menzahirkan penghargaan kepada Jutawalet Service and Trading serta pihak lain yang tampil membantu termasuk menerusi sumbangan keperluan asas.
Kebakaran yang berlaku pada 22 Januari lalu sekitar jam 10.35 malam menyebabkan 10 keluarga, membabitkan 60 penghuni, kehilangan tempat tinggal apabila rumah panjang mereka musnah sepenuhnya.
Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dalam insiden tersebut.