MARUDI, 22 Oktober: Seramai 15 peserta Kelas Pendidikan Literasi Fungsian (PLF) Hakiki Rumah Tanjong, Stapang B, Marudi berjaya menamatkan pembelajaran menerusi program anjuran Unit Pembangunan Komuniti (PKOM) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Baram.
Majlis penyampaian sijil tamat pembelajaran kepada peserta disempurnakan oleh Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telang Usan, Richard Emang, di Bilik Seminar Dewan Suarah Marudi, di sini, hari ini.
Pegawai KEMAS Marudi, Therry Noel George Anyi berkata, program PLF bukan sekadar memberikan penekanan terhadap kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M), malah turut merangkumi kemahiran hidup, pengurusan kendiri serta celik digital dan ekonomi.
Menurutnya, program berkenaan bertujuan memperkasakan keupayaan peserta dalam mengaplikasikan kemahiran literasi fungsian bagi meningkatkan kualiti kehidupan seharian.

“Majlis graduasi ini merupakan pengiktirafan terhadap usaha, kesungguhan dan komitmen para peserta dalam meningkatkan ilmu pengetahuan serta kemahiran literasi fungsian.
“Kejayaan ini diharap menjadi pembakar semangat kepada peserta untuk terus belajar, memperkasakan diri dan meningkatkan kualiti hidup pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berkenaan.
Therry turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua peserta yang berjaya menamatkan pembelajaran, sambil menegaskan bahawa usia bukan penghalang untuk seseorang terus menimba ilmu.
“Melangkah ke pentas graduasi ini merupakan bukti jelas bahawa pembelajaran tiada had umur dan tiada garisan penamat.
“Semangat, kesabaran dan kesungguhan anda semua sepanjang mengikuti kelas ini amat menyentuh hati dan wajar dijadikan inspirasi oleh seluruh masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada tenaga pengajar serta pihak KEMAS atas komitmen dan dedikasi dalam memastikan kelancaran pelaksanaan program berkenaan.
Katanya, kejayaan peserta tidak mungkin dicapai tanpa usaha gigih barisan Pemaju Masyarakat KEMAS yang sentiasa memberikan bimbingan dan dorongan sepanjang tempoh pembelajaran.
“Ucapan setinggi-tinggi terima kasih khas buat pengajar yang tidak pernah jemu menyemai ilmu, memberi dorongan dan membimbing para peserta dengan penuh kesabaran,” katanya.
Beliau turut menghargai komitmen KEMAS dalam menyediakan platform pembelajaran sepanjang hayat bagi meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan keupayaan masyarakat, khususnya di peringkat akar umbi.
Majlis perasmian penangguhan program berkenaan turut disempurnakan oleh Richard Emang.
Oleh Jiku Juguong





