PUTRAJAYA: Tiada kes yang dilaporkan mendapat jangkitan dari dalam negara iaitu penularan tempatan, sama ada dalam kalangan warganegara Malaysia mahupun bukan warganegara.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, selain itu buat pertama kalinya, Malaysia mencatatkan kes harian Covid-19 yang terendah semalam iaitu dengan hanya satu kes baharu sepanjang gelombang kedua pandemik itu dengan jumlah keseluruhan 8,640 kes.
“Sukacita dimaklumkan bahawa tiada kes penularan dalam negara yang dilaporkan semalam.
“Ingin dimaklumkan satu kes baharu yang dilaporkan adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara iaitu Turki. Syabas kepada semua pihak terutama masyarakat Malaysia atas pencapaian ini,” katanya pada sidang media semalam.
Dr Noor Hisham berkata, terdapat 21 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj semalam menjadikan jumlah kes kumulatif pulih 8,375 kes.
Tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan sejak 15 Jun menjadikan jumlah kumulatif kes kematian dalam negara akibat pandemik itu kekal 121 kes.
Sementara itu, beliau berkata empat kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Memperincikan perkembangan Covid-19, Dr Noor Hisham berkata kes harian dalam kalangan rakyat Malaysia iaitu yang mendapat jangkitan di dalam negara didapati sejajar dengan unjuran kes harian dalam pemodelan dan ramalan pada 21 Mei 2020 oleh Institut Kesihatan Negara Kementerian Kesihatan (KKM).
Katanya, pencapaian itu sememangnya hasil kerjasama setiap peringkat dan lapisan masyarakat dalam memainkan peranan masing-masing termasuk mengamalkan kelaziman baharu dalam kehidupan seharian dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Jelas Dr Noor Hisham, penurunan kes harian juga menggambarkan kesedaran masyarakat terhadap kawalan kendiri dan tanggungjawab sosial.
“Adalah diharapkan agar setiap lapisan dan kumpulan masyarakat dapat mengamalkan jarak sosial yang selamat iaitu sekurang-kurangnya satu meter antara satu sama lain, kebersihan kendiri yang tinggi, mengelakkan kawasan yang sempit dan sesak serta mengelak bertutur dengan jarak yang dekat.
“Ini semua adalah normal baharu yang diamalkan secara meluas dan berterusan bagi memastikan kita terus berjaya dalam memerangi wabak Covid-19,” katanya.
Dr Noor Hisham turut mengingatkan orang ramai bahawa pandemik itu masih lagi berterusan di seluruh dunia dan penularan semula jangkitan Covid-19 di Malaysia masih boleh berlaku sekiranya rakyat leka dan mengambil mudah dengan saranan, arahan serta amaran kerajaan.
Menurut beliau, ibu bapa dan penjaga diminta agar terus mendidik anak mengenai amalan dan kelaziman baharu kerana ia amat penting untuk menjaga keselamatan dan kesihatan mereka memandangkan sesi persekolahan bakal dibuka semula, dan nasihat kesihatan juga perlu diterapkan bermula dari rumah.– BERNAMA