PETRA JAYA, 15 November: Sarawak sedang meneroka potensi sumber gas asli di perairan Lundu berhampiran Natuna, termasuk gas masam yang berpotensi dibangunkan sebagai sumber baharu industri tenaga dan petrokimia negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau telah meminta Petroleum Sarawak Berhad (Petros) meneroka potensi sumber gas berkenaan bagi mengenal pasti peluang pembangunan sektor tenaga di kawasan itu.
Menurutnya, walaupun gas yang dikenal pasti berpotensi mengandungi kandungan karbon dioksida dan sulfur yang tinggi, kemajuan teknologi membolehkan sumber berkenaan diproses untuk kegunaan industri.
“Kita minta Petros mencari gas di kawasan itu. Memang terdapat potensi gas walaupun gas berkenaan ialah gas masam,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Selatan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, teknologi pemerapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) membolehkan karbon dioksida yang terkandung dalam gas masam diasingkan sebelum disimpan jauh di bawah tanah.
Melalui proses rawatan berkenaan, kandungan karbon dioksida dan hidrogen sulfida perlu diasingkan bagi menghasilkan gas yang lebih sesuai untuk kegunaan industri.
Katanya, teknologi itu membuka peluang kepada Sarawak untuk memanfaatkan sumber gas yang sebelum ini berdepan cabaran dari segi pemprosesan dan kos pembangunan.
Abang Johari berkata, potensi sumber gas berkenaan juga berkait rapat dengan perancangan membangunkan Tanjung Embang sebagai hab industri gas dan petrokimia negeri.
Menurutnya, Petros turut memeterai kerjasama bagi pembangunan kemudahan gas asli cecair (LNG) terapung di Tanjung Embang sebagai sebahagian daripada perancangan memperkukuh infrastruktur tenaga Sarawak.
Pembangunan berkenaan dijangka membuka ruang kepada aktiviti hiliran, termasuk pemprosesan gas dan penghasilan produk petrokimia yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.
Sebelum ini, Abang Johari turut mendedahkan bahawa terdapat petunjuk potensi sumber gas di sepanjang jalur geologi dari kawasan Balingian hingga ke perairan Lundu, yang mempunyai kesinambungan geologi ke arah kawasan Natuna.
Penerokaan sumber berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha Sarawak memperluas sektor minyak dan gas, selain memperkukuh kedudukan negeri sebagai hab tenaga serantau.
Oleh Shahrul Qaizat



