Abang Johari perlu terus pimpin Sarawak untuk lima tahun lagi – Fadillah

Facebook
WhatsApp
NAIB Presiden Kanan PBB, Datuk Amar Fadillah Yusof berucap pada Konvensyen Khas PBB Sarawak Zon Selatan 2026 di BCCK.

PETRA JAYA, 15 November: Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg diharapkan terus memimpin Sarawak untuk tempoh lima tahun akan datang bagi memastikan pembangunan negeri dan perjuangan hak Sarawak dapat diteruskan.

Naib Presiden Kanan PBB, Datuk Amar Fadillah Yusof, berkata Abang Johari bukan sahaja mendapat pengiktirafan rakyat Sarawak, malah turut dipuji masyarakat di Semenanjung serta pihak luar negara.

“Pujian itu mencerminkan keyakinan terhadap wawasan dan pengetahuan Abang Johari dalam menerajui pembangunan Sarawak.

SUASANA Konvensyen Khas PBB Sarawak Zon Selatan 2026 di BCCK, Kuching.

“Walaupun orang luar puji Premier kita depan kita, kita pun turut rasa bangga dengan pujian tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Zon Selatan 2026 yang disempurnakan Abang Johari, di sini hari ini.

Fadillah yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata kepimpinan Premier Sarawak itu telah berjaya memperkukuhkan kedudukan kewangan negeri serta meningkatkan pendapatan Sarawak, sekali gus membolehkan kerajaan melaksanakan lebih banyak inisiatif untuk manfaat rakyat.

“Peningkatan keupayaan kewangan negeri itu, dapat dilihat menerusi Belanjawan Sarawak 2027 berjumlah RM14.85 bilion berbanding RM12.9 bilion pada tahun sebelumnya.

“Peningkatan hasil negeri membolehkan kerajaan mengembalikan manfaat kepada rakyat menerusi pelbagai bantuan dan kemudahan, termasuk Bantuan Ibu Bersalin sebanyak RM450, bantuan kepada warga emas serta pendidikan percuma.

“Apabila dapat pendapatan, sini pergi, balik kepada rakyat. Sini nak cari, bila dilahirkan, anak terus dapat, bini beranak, dapat dia ambil RM450, orang pencen pun dapat, macam-macamlah,” katanya.

Beliau menjelaskan, selain memperkukuh ekonomi negeri, kepimpinan Abang Johari turut memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur dan usaha memperjuangkan hak Sarawak di peringkat Persekutuan.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat terus memberikan mandat kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 supaya Abang Johari dapat meneruskan kepimpinan negeri untuk lima tahun akan datang.

Abang Johari dipilih sebagai Ketua Menteri (kemudian dinamakan sebagai Premier Sarawak) mulai 13 Januari 2017 hingga sekarang, mengantikan Pehin Sri Adenan Satem yang meninggal dunia pada 11 Januari 2017.

Oleh Masrin Affirah