Abang Johari umum 82 calon GPS pada 25 November

Facebook
WhatsApp
DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika ditemui media selepas menghadiri Konvensyen Khas PBB Zon Selatan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

PETRA JAYA, 15 November: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mengumumkan senarai penuh 82 calon yang bakal mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, 25 November ini.

Premier Sarawak yang juga Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pengumuman berkenaan akan merangkumi kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi gabungan itu pada pilihan raya berkenaan.

Beliau yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Konvensyen Khas PBB Zon Selatan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

Menurutnya, konvensyen berkenaan merupakan siri terakhir yang dianjurkan PBB selepas Zon Utara, Zon Tengah dan Betong, sekali gus menjadi platform untuk mendapatkan maklum balas ahli parti serta meneliti perkembangan pembangunan di kawasan masing-masing.

Katanya, GPS yang diterajui PBB bersama parti komponennya, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) kini sedang mempersiapkan jentera bagi menghadapi PRN yang dijadualkan berlangsung pada 12 Disember ini.

Mengulas kemungkinan berlaku pertukaran calon, Abang Johari berkata, GPS dijangka menampilkan gabungan calon muda dan berpengalaman, namun belum mendedahkan sebarang nama pada konvensyen berkenaan.

Beliau menjelaskan bahawa perjuangan parti adalah berlandaskan amanat PBB, selain menegaskan bahawa tiada senarai nama calon diumumkan pada hari ini.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan lebih ramai calon wanita diketengahkan, beliau tidak mengesahkan perkara itu dan meminta media menunggu pengumuman rasmi pada 25 November.

Abang Johari sebelum ini turut menyebut beberapa pemimpin muda PBB, termasuk Fazzrudin Abdul Rahman ketika melancarkan program pergerakan Pemuda parti itu, sambil menjelaskan bahawa golongan berkenaan masih perlu menimba pengalaman.

Konvensyen Khas PBB Zon Selatan itu merupakan siri terakhir sebelum parti berkenaan memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi PRN Sarawak ke-13.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 28 November sebagai Hari Penamaan Calon, manakala pengundian awal berlangsung pada 8 Disember dan Hari Mengundi pada 12 Disember 2026. 

Tempoh berkempen pula ditetapkan selama 14 hari, bermula selepas pengisytiharan calon pada 28 November sehingga 11.59 malam, 11 Disember 2026. 

Oleh Shahrul Qaizat