‘Suara kita, muka kita, badan kita, tetapi bukan kita,” – Fadilah mengenai ancaman AI

Facebook
WhatsApp
NAIB Presiden Kanan PBB, Datuk Amar Fadillah Yusof berucap pada Konvensyen Khas PBB Sarawak Zon Selatan 2026 di BCCK.

PETRA JAYA, 15 November: Jentera Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu menguasai teknologi digital dan media sosial bagi menghadapi ancaman penyebaran berita palsu serta manipulasi kandungan menggunakan kecerdasan buatan (AI) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, kemajuan teknologi ketika ini membolehkan suara, wajah dan imej seseorang dimanipulasi sehingga menghasilkan kandungan seolah-olah benar walaupun bukan daripada individu berkenaan.

SUASANA Konvensyen Khas PBB Sarawak Zon Selatan 2026 di BCCK.

“Keadaan ini boleh menimbulkan cabaran kepada parti ketika pilihan raya, khususnya dalam menangani berita palsu dan fitnah yang disebarkan melalui media sosial.

“Zaman digital, zaman AI, banyak perkara boleh berlaku. Suara-suara kita, muka-muka kita, badan-badan kita, tetapi bukan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pada Konvensyen Khas PBB Sarawak Zon Selatan 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

Beliau menegaskan bahawa seluruh jentera parti perlu menggabungkan kekuatan kempen secara bersemuka dengan pendekatan digital bagi memastikan maklumat mengenai perjuangan GPS sampai kepada rakyat.

“Golongan belia khususnya perlu memainkan peranan lebih besar kerana mereka lebih dekat dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi.

“Golongan belia ini perlu dibekalkan pengetahuan serta digerakkan ke hadapan untuk menyampaikan naratif perjuangan PBB dan GPS, termasuk pencapaian kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” jelasnya.

Beliau berkata penggunaan media sosial juga tidak seharusnya dipandang sebagai tugas tambahan, sebaliknya menjadi sebahagian daripada strategi jentera parti untuk mendapatkan sokongan pengundi.

“Kita kena juga bersemuka dan pada masa sama memastikan media sosial dipenuhi dengan cerita kita.

“Kalau kita nak menang besar, ia perlu dilakukan oleh kita,” katanya.

Untuk rekod, PRN Sarawak ke-13 semakin hampir dengan hari penamaan calon dijadualkan berlangsung pada 28 November ini, manakala hari pengundian ditetapkan pada 12 Disember depan, sekali gus menyaksikan parti-parti politik mula mempergiat persiapan menghadapi pilihan raya berkenaan.

Oleh Masrin Affirah