BINTULU: Ketika mangsa banjir masih bergelut dengan kesan bencana, komuniti perniagaan tempatan tampil menghulurkan bantuan sekali gus mempercepat usaha pembersihan pasca banjir di Bintulu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming menyifatkan bantuan yang diberikan bukan sekadar meringankan beban kerja, tetapi juga menyuntik semangat kepada semua pihak yang terlibat.
“Sejurus seruan bantuan dibuat, pihak industri tanpa ragu terus menyumbang tenaga dan sumber.
“Keprihatinan serta tindakan pantas mereka sangat bermakna dalam situasi kritikal ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya.
Beliau berkata tanpa kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat, usaha pemulihan tidak akan dapat dilakukan dengan pantas dan berkesan.
“Kita tidak boleh bergantung pada satu pihak sahaja.
“Semangat kebersamaan inilah yang akan menentukan sejauh mana kita dapat bangkit semula,” tegasnya.
Dengan sokongan sektor swasta, lebih banyak jentera berat termasuk pam air berkuasa minyak dan lori pengangkut sampah telah digerakkan, meningkatkan kecekapan kerja-kerja pembersihan.
Johnny Pang turut menyeru lebih banyak pihak tampil membantu dalam usaha memulihkan Bintulu secepat mungkin.
“Kita bukan sekadar membersihkan kawasan terjejas, tetapi juga membina semula kehidupan mereka yang terkesan.
“Inilah tanggungjawab kita bersama,” katanya.