MIRI, 15 November: Pengubahsuaian ekzos sehingga menghasilkan bunyi bising antara kesalahan yang dikesan dalam Op Motosikal di sekitar bandar raya ini, yang menyaksikan sebanyak 30 saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri itu berlangsung dari 11.00 malam semalam hingga 4.00 pagi tadi.
Beliau berkata, operasi berkenaan turut memberi tumpuan kepada usaha membanteras aktiviti samseng jalanan yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
“Sepanjang operasi, seramai 18 lelaki dan tiga wanita diperiksa bersama 15 motosikal, dengan 30 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan yang dikesan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohd Farhan berkata, antara kesalahan lain yang dikenal pasti ialah menunggang tanpa lesen memandu, mengubah suai struktur motosikal, tidak memasang cermin sisi, tidak mempamerkan nombor pendaftaran serta menggunakan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi.
Operasi itu melibatkan beberapa lokasi termasuk Jalan Marina Utama, Jalan Piasau, Jalan Pujut, Jalan Tudan, Jalan Tanjung Lobang, Jalan Bintang, Jalan Miri Bypass, Jalan Taman Tunku dan Jalan Taman Jelita.
Beliau menegaskan bahawa polis tidak akan berkompromi terhadap individu yang terbabit dalam aktiviti samseng jalanan kerana perbuatan itu boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak melakukan pengubahsuaian kenderaan yang menyalahi spesifikasi ditetapkan.
Oleh Liong Chai Ling





