Kelab Pidato Sibu dicadang bekerjasama dengan Majlis Kanak-Kanak Sibu

Facebook
WhatsApp
UNTUK ALBUM...Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Izkandar Roseley merakam kenangan bersama barisan jawatankuasa baharu sesi 2026-2027 ahli Kelab Pidato Sibu Toastmaster.

SIBU, 15 November: Kelab Pidato Sibu dicadangkan menjalinkan kerjasama dengan Majlis Kanak-Kanak Sibu bagi memberikan pendedahan awal kepada golongan kanak-kanak mengenai seni pidato dan kemahiran pengucapan awam.

Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Izkandar Roseley berkata, kerjasama itu mampu menyediakan platform kepada kanak-kanak untuk mempelajari kemahiran komunikasi serta membina keyakinan diri sejak usia muda.

“Saya melihat ini sebagai peluang yang baik untuk memberikan pendedahan kepada anak-anak kita tentang seni berpidato dan pengucapan awam sejak usia muda,” katanya ketika berucap pada majlis Kelab Pidato Sibu Toastmaster, di sini, hari ini.

Menurutnya, platform sedemikian membolehkan kanak-kanak mencuba, belajar berkomunikasi di hadapan khalayak serta membina keyakinan diri dalam suasana positif dan saling menyokong.

Beliau percaya pendedahan awal itu bukan sahaja berpotensi melahirkan pemidato masa hadapan, malah membentuk generasi pemimpin yang lebih yakin dan berani menyuarakan pandangan.

Sehubungan itu, beliau berharap cadangan kerjasama antara Kelab Pidato Sibu dengan Majlis Kanak-Kanak Sibu dapat diterokai bersama bagi merealisasikan usaha berkenaan.

Dalam pada itu, Izkandar berkata, kemahiran komunikasi merupakan antara elemen penting dalam kepimpinan kerana idea dan perancangan yang baik perlu disampaikan secara berkesan bagi mendapatkan sokongan orang lain.

Bagaimanapun, katanya, komunikasi bukan sekadar kebolehan bercakap, sebaliknya turut merangkumi kesediaan untuk mendengar, memahami dan menghormati pandangan orang lain.

Beliau turut menasihati barisan jawatankuasa baharu bagi sesi 2026–2027 supaya memimpin melalui teladan, memupuk budaya saling menyokong serta memastikan kelab terus relevan kepada masyarakat, khususnya dalam melahirkan generasi muda yang berkeyakinan.

“Saya berharap Kelab Pidato Sibu terus berkembang dan memperkukuh legasinya sebagai platform melahirkan lebih ramai pemidato serta pemimpin berkualiti untuk masyarakat,” katanya.

Oleh Tarani Lanting