Lelaki cedera di kepala ketika mandi di air terjun Taman Negara Kubah

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya membantu membawa mangsa yang cedera di bahagian kepala keluar dari kawasan air terjun di Taman Negara Kubah. Foto JBPM

KUCHING, 15 November: Seorang lelaki berusia 22 tahun cedera di bahagian kepala ketika mandi di kawasan air terjun di Taman Negara Kubah, di sini, hari ini.

Mangsa, Muhammad Zaki Osman, dibantu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya untuk dibawa keluar dari kawasan air terjun ke lokasi pemeriksaan (checkpoint).

Menurut Pusat Gerakan Operasi JBPM, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 10.42 pagi sebelum pasukan bomba tiba di lokasi pada 12.30 tengah hari.

Komander Operasi, PBK III Ibrahim bin Assan berkata, mangsa berada dalam keadaan stabil dan sedar ketika pasukan bomba tiba.

Mangsa juga masih mampu berjalan sendiri ke lokasi pemeriksaan dengan bantuan anggota bomba.

Operasi bantuan itu dikawal pada 12.35 tengah hari sebelum ditamatkan sepenuhnya pada 12.50 tengah hari.

Seramai lapan anggota dari BBP Petra Jaya bersama sebuah jentera bomba digerakkan ke lokasi bagi membantu mangsa.

Oleh Shikin Mahmud