BINTULU: Pihak berkuasa tempatan (PBT) Bintulu membuka dua tapak pelupusan sampah untuk membantu penduduk yang terkesan oleh bencana membuang sampah pasca banjir.
Menurut kenyataan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), langkah itu bertujuan untuk memastikan kawasan sekitar kekal bersih dan selamat.
“Tapak pelupusan sampah Kuala Segan menerima sampah pukal seperti perabot dan tilam.
“Waktu operasi adalah dari 7.00 pagi hingga 7.00 malam, dan ia akan dibuka sehingga 14 Februari.
“Bagi sampah domestik seperti sisa makanan, kadbod dan kertas, tapak pelupusan sampah Kidurong disediakan dengan waktu operasi dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang,” kata kenyataan itu.
Penduduk yang memerlukan bantuan penghantaran sampah, boleh hubungi Gan Chung Yuek di talian 019-8455881 atau Yusri Joll di talian 013-8392122.
Penduduk diingatkan untuk membuang sampah mengikut jenis dan lokasi yang ditetapkan.
Pelupusan sampah yang teratur dan terancang itu adalah usaha berterusan bagi menjaga kebersihan persekitaran pasca banjir dan mencegah penyebaran penyakit.