LAWAS: Seorang lelaki warga Indonesia yang mengamuk di Ladang Sawit Trusan berjaya diberkas polis, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Lawas DSP Liong Tindak memberitahu pihaknya menerima laporan menyatakan berlaku kejadian orang mengamuk di Ladang Trusan Lawas pada 8.10 pagi, semalam.
Seramai tiga orang mangsa amuk warganegara Indonesia telah dibawa ke Hospital Lawas untuk mendapatkan rawatan.
“Pihak Polis telah digerakkan untuk mengesan saspek ditempat kejadian iaitu di Ladang Trusan Lawas.
Suspek yang dikenali sebagai Yonatan Longa Wali, 44 tahun, juga warganegara Indonesia telah berjaya ditangkap pada hari yang sama dan kes disiasat mengikut seksyen 326 kanun keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Punca kejadian masih dalam siasatan polis. Saspek akan direman untuk siasatan lanjut pihak polis.
“Pihak polis meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat sekiranya ada sebarang maklumat berkaitan kes ini.
Orang ramai juga diminta untuk tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak sahih sehingga boleh menimbulkan kegusaran awam,” tambahnya.