MIRI: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi, mengakhiri rangka lawatan sempena sambutan Tahun Baharu Cina di sini dengan mengunjungi kediaman Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, 5.00 petang tadi.
Turut hadir mengiringi Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, yang juga Menteri Belia dan Sukan serta Menteri Perusahaan Usahawan, selaku Menteri Pengiring Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bersama isteri, Datin Sri Zuraini Jabbar.
Turut serta Residen Miri, Galong Luang.
Ketibaan rombongan disambut dengan penuh kemeriahan, diiringi persembahan tarian singa yang melambangkan kemakmuran dan kesejahteraan.
Sebagai simbol perpaduan dan harapan untuk kejayaan bersama, Wan Junaidi serta tetamu kehormat turut serta dalam upacara menggaul Yee Sang, tradisi yang melambangkan doa dan harapan baik untuk tahun mendatang.
Dalam kunjungan ini, Wan Junaidi merakamkan penghargaan kepada Datuk Sebastian Ting atas jemputan dan layanan mesra sepanjang kunjungan tersebut.
Beliau berharap agar Tahun Baharu Cina 2025 membawa keberkatan, kebahagiaan, serta kemakmuran berpanjangan kepada semua lapisan masyarakat.