SEBAUH: Seramai 60 penghuni daripada 11 keluarga kehilangan tempat berteduh apabila Rumah Beji Utek di Jalan Ladang Sungai Kelabat di sini, musnah dalam kebakaran malam tadi.
Menurut Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Bintulu, Wan Kamaruddin Wan Ahmad, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 10.58 malam, dengan kebakaran dilaporkan berlaku sekitar 10.35 malam.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu segera digerakkan ke lokasi menggunakan sebuah jentera jenis Hilux sebaik menerima maklumat.
Namun, perjalanan sejauh kira-kira tiga jam melalui jalan balak dan ladang kelapa sawit terpaksa ditangguhkan kerana keadaan jalan licin, gelap, dan berbahaya akibat hujan lebat.
“Pasukan hanya dapat tiba di lokasi pada keesokan pagi (hari ini), di mana kami mendapati 11 bilik rumah panjang telah musnah sepenuhnya.
“Tiada kehilangan nyawa dilaporkan dalam kejadian ini,” katanya dalam kenyataan.
Punca kebakaran masih dalam siasatan, manakala bantuan kepada mangsa sedang diusahakan oleh pihak berkaitan.