SIBU: Festival Nusar Unleashed yang dijadual berlangsung 8 dan 9 Febuari 2025 di Stadium Tertutup Sibu, terpaksa dipinda ke tarikh baharu iaitu 5 dan 6 Julai depan.
Pihak pengajur Nusar Unleashed dalam satu kenyataan berkata, lokasi festival pada 5 dan 6 Julai itu nanti tetap sama iaitu di Stadium Tertutup Sibu.
“Festival ini ditunda bagi menggalakkan lebih banyak pembelian tiket dan menjaga vendor yang terlibat. Kami komited untuk menjayakan festival ini kerana 50 peratus pembayaran telah dibuat kepada pihak yang terlibat.
“Terima kasih atas kepercayaan anda dan kami yakin festival ini akan menjadi pengalaman yang lebih hebat pada tarikh baharu nanti,” katanya.
Menurut kenyatan itu lagi, barisan artis yang menjayakan Nusar Unleashed masih tetap sama.
“Anda masih berpeluang menikmati persembahan hebat daripada anis-artis kegemaran anda,” katanya.
Nusar Unleashed 2025 yang julung kali dianjurkan di Sibu oleh Entrex World Empire, Scenedekat dan No Solucion, menampilkan 26 band pelbagai genre dari tiga negara iaitu Malaysia, Brunei dan Indonesia.
Gabungan genre Alternative dan Metal, ia turut menampilkan 17 band dari Sarawak, disamping band jemputan dari Semenanjung seperti OAG, The Times dan Tebabo X Emmet. Turut beraksi band dari Indonesia iaitu Seringai, Konfliktion, Kelompok Penerbang Roket dan Devdan, selain satu band jemputan dari Brunei iaitu Empty Wallet.
Band dari Sarawak terdiri daripada Heroine, Dilarang Melarang, Drasska, Mono & Saturday Heroes, Radio 83, Automatic The Remote, Clockwise, Hayatunnafs, Destroying Ears, kesemuanya dari Kuching, Larrong, Haram Jadah dan Neverlost (Sibu), Hemewrath dan Buxnid (Bintulu) serta Nimang Ensera (Miri).
Sementara itu, untuk pembeli tiket sedia ada, mereka akan menerima kupon ZUS COFFEE dan merchandise eksklusif Nusar Unleashed sebagai tanda penghargaan atas kesetiaan mereka.
“Untuk pembeli baharu, jualan tiket ‘Early Bird’ kini dilanjutkan sehingga 2 Jun 2025 dengan diskaun 10 peratus untuk pas sehari, manakala diskaun 20 peratus untuk pas dua hari, bagi menggalakkan lebih ramai menyertai festival epik ini.
“Kami juga akan menganjurkan showcase kecil sebagai pra-acara untuk memberikan anda merasa vibe Nusar Unleashed sebelum tarikh festival. Butiran mengenai showcase akan diumumkan tidak lama lagi, jadi teruskan mengikuti kami.
“Kami tidak sabar untuk menyambut anda semua di Stadium Tertutup Sibu pada tarikh baharu nanti. Terima kasih atas sokongan dan kepercayaan anda kepada Nusar Unleashed,” jelasnya.
Oleh Akun Giman