KUCHING: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Nasional (NIOSH) digesa untuk menubuhkan sebuah pejabat di Bahagian Kapit bagi memudahkan menyampaikan perkhidmatan berkaitan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja untuk penduduk tempatan.
Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing berkata banyak projek pembangunan sedang dilaksanakan di kawasan Kapit antaranya pembinaan jalan-jalan baharu serta Empangan Baleh.
“Saya mahu mereka menubuhkan sebuah pejabat di wilayah tengah Sarawak ini kerana kita tidak mempunyai pejabat NIOSH di Kapit, ini penting untuk penduduk tempatan.
“Kita mempunyai aktiviti pembinaan yang besar di sana seperti Empangan Bakun dan sekarang sedang membina Empangan Baleh,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh tersebut.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada Pengurusan Tertinggi NIOSH di Baitulmakmur, di sini, semalam.
Menurutnya, Empangan Baleh dijangka siap pada 2026 iaitu enam tahun dari sekarang dan akan menempatkan sekitar 3,500 pekerja yang mana kesemuannya memerlukan latihan terutamanya daripada aspek keselamatan.
Sementara itu, Pengerusi NIOSH Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, kunjungan hormat tersebut adalah menyatakan kesediaan pihaknya untuk bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak dalam memastikan pengurusan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja untuk pekerja.
“Dengan pengalaman dan kemampuan untuk melatih pekerja, pihak kita akan membantu menegakkan amalan keselamatan dan kesihatan kepada sektor perindustrian di Sarawak.
“Pihak kerajaan melalui Akta Keselamatan dan Kesihataan Pekerjaan 1994 (AKKP) menjelaskan keperluan untuk majikan dan pekerja wajib mengambil langkah terbaik bagi memastikan keselamatan dan kesihatan serta kebajikan di tempat kerja,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Hulu Rajang.
Jelasnya, pihaknya mempunyai banyak modul dari segi latihan, perkhidmatan rundingan, melaksanakan penyelidikan dan pembangunan serta menganjurkan banyak aktiviti penyebaran maklumat.
“Saya percaya dengan cadangan Tan Sri (Masing), ia tidak menjadi masalah untuk kita mendirikan pejabat di Kapit kerana kita menyedari bahawa terdapat pembinaan empangan baru (Empangan Baleh) yang akan melibatkan hampir 4,000 pekerja yang terlibat dalam aktiviti ini tentunya keselamatan di utamakan,” jelasnya.