IPSWICH: Pep Guardiola menegaskan Manchester City kembali ke prestasi terbaik selepas Phil Foden menjadi bintang dalam kemenangan besar 6-0 ke atas Ipswich yang sedang bergelut awal pagi tadi.
Foden menjaringkan gol di kedua-dua babak disamping gol Mateo Kovacic ketika City meledak tiga gol pada separuh masa pertama di Portman Road.
Jeremy Doku, Erling Haaland dan James McAtee menambah gol selepas rehat untuk memberikan kemenangan liga terbesar City musim ini dan kembali menghuni kedudukan empat terbaik liga.
Pasukan Guardiola memenangi tiga daripada empat perlawanan liga terakhir mereka ketika mereka memulakan usaha untuk kembali ke prestasi cemerlang selepas permulaan musim yang mengecewakan.
“Kami sangat gembira, kami kembali ke prestasi yang menjadikan kami antara pasukan yang digeruni dalam beberapa dekad yang lalu dan dalam beberapa tahun terakhir ini.
“Saya sangat gembira untuk pemain, mereka sangat layak mendapatkannya. Kami kembali mendapatkan semula beberapa identiti yang hilang dalam perjalanan ini.
“Sangat gembira dengan tiga mata yang bermakna kerana kelayakan Liga Juara-Juara musim depan sangat sukar,” kata Guardiola.
Ujian yang lebih berat menanti City, termasuk kunjungan penting ke Paris Saint-Germain dalam Liga Juara-Juara pada hari Rabu dan pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan Chelsea dan Arsenal.
Namun kemenangan penting ini menghidupkan kembali keyakinan City yang menjuarai empat gelaran liga berturut-turut.
Mereka kini di kedudukan keempat dengan 38 mata, ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu, Liverpool.
Guardiola pasti akan berpuas hati jika dapat mengembalikan maruah City musim ini ketika dia membina semula pasukan yang tiba-tiba menjadi lemah dan tidak konsisten. – AFP