VIETNAM: Walaupun sudah berjaya mengekang penularan Covid-19, Vietnam tidak mempunyai rancangan untuk membuka pintu kepada pelancong antarabangsa kerana khuatir ia akan menyebabkan gelombang kedua jangkitan wabak berkenaan, demikian kata Perdana Menteri, Nguyen Xuan Phuc.
Vietnam hanya mencatatkan jumlah jangkitan sebanyak 352 kes dengan kebanyakannya sudah pulih. Tiada kes kematian bagi wabak Covid-19 dilaporkan.
“Tidak ada tindakan tergesa-gesa untuk membuka pintu,” kata Phuc dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman web kerajaan pada Rabu.
“Vietnam belum bersedia menyambut kedatangan pelancong antarabangsa. Bagaimanapun tenaga pakar asing, pekerja sektor peringkat tinggi dan pelabur disambut baik oleh Vietnam tetapi akan dipantau dengan teliti,”katanya lagi.
Pakar asing yang berkemahiran tinggi seperti jurutera dibenarkan memasuki Vietnam dengan penerbangan khas dan perlu menjalani kuarantin di hotel dalam usaha memastikan ekonomi terus bertahan sepanjang pandemik.
Vietnam tidak merekodkan penularan Covid-19 dalam kalangan masyarakat selama lebih dua bulan.
Pada awal bulan lalu, Vietnam berkata ia merancang untuk menyambung semula penerbangan ke beberapa negara bebas Covid-19 yang tidak merekodkan kes selama 30 hari atau lebih. –AFP