Keputusan perbicaraan kematian Maradona diumumkan 22 Disember

Facebook
WhatsApp

SAN ISIDRO, Argentina, 23 Oktober: Keputusan perbicaraan berhubung kematian legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona, pada 2020 akan diumumkan pada 22 Disember, menurut mahkamah selepas prosiding berlangsung selama enam bulan.

Perbicaraan terhadap tujuh petugas kesihatan yang didakwa cuai sehingga menyebabkan kematian Maradona berakhir selepas anak perempuannya dan beberapa tertuduh menyampaikan kenyataan ringkas.

“Saya berharap bapa saya mendapat keadilan yang sewajarnya… seperti orang lain,” kata Dalma Maradona dengan suara sebak.

Doktor peribadi Maradona, Leopoldo Luque, yang merupakan tertuduh utama dalam kes itu, menegaskan bahawa beliau tidak bersalah.

Maradona meninggal dunia pada usia 60 tahun akibat kegagalan jantung yang disertai edema pulmonari, iaitu pengumpulan cecair di dalam paru-paru.

Beliau ditemukan meninggal dunia di atas katil pada 25 November 2020 di sebuah kediaman di Tigre, utara Buenos Aires, yang disewanya untuk menjalani tempoh pemulihan selepas pembedahan saraf kecil. – AFP

Kematiannya menyelubungi Argentina dengan suasana berkabung ketika negara itu masih berdepan pandemik COVID-19.

Pihak pendakwaan memohon hukuman penjara antara empat hingga 12 tahun terhadap enam daripada tujuh tertuduh. Hukuman penjara 12 tahun, iaitu yang paling berat, dimohon terhadap Luque.

Dalam hujah penutup pada Rabu, peguam pembelaan Luque menolak dakwaan pihak pendakwaan bahawa kematian Maradona boleh dijangka, sebaliknya menyifatkan anak guam mereka sebagai “kambing hitam” dalam kes berkenaan.

– AFP