MIRI: Mayat seorang remaja lelaki yang dipercayai lemas ketika mandi-manda bersama tiga rakannya di pantai Batu 1 Kuala Baram pada petang Isnin lalu telah dijumpai hari ini.
Leftenan Komander Maritim Safril Aza Mustapa selaku Ketua Pegawai Seksyen Operasi Zon Maritim Miri berkata mayat mangsa telah dijumpai pekerja di tapak pembinaan di situ yang terus hubungi pasukan mencari dan menyelamat.
“Mayat Mohamad Iqbal Khairul Hisyam, 15 tahun, dijumpai pada jam 7.40 pagi di kawasan berhampiran tapak pembinaan di pantai Lutong kira-kira tiga kilometer dari kawasan mangsa dipercayai lemas.
“Bertindak atas laporan diterima, pasukan mencari dan menyelamat pergi ke lokasi penemuan untuk mengambil mayat itu bagi tujuan pengecaman waris dan disahkan mayat itu adalah milik mangsa, Mohamad Iqbal Khairul Hisyam,” katanya pada sidang media di sini, pagi tadi.
Beliau berkata sepanjang operasi dijalankan, tumpuan pencarian bukan hanya di kawasan lautan tetapi juga sekitar pantai dan daratan termasuk di kawasan berhampiran mayat mangsa dijumpai.
“Namun kita tidak boleh masuk kawasan tersebut memandangkan ia adalah tapak pembinaan dan mayat mangsa telah dijumpai sendiri oleh pekerja tapak pembinaan pagi ini.
“Operasi yang masuk hari keempat hari ini telah digerakkan bersama beberapa agensi lain termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia, Pasukan Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam dan Pengawal Pantai ditamatkan jam 10.30 pagi,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menasihati ibu bapa supaya mengelak daripada membawa anak-anak melakukan aktiviti di kawasan pantai terutama ketika musim cuti sekolah yang akan bermula minggu depan berikutan angin monsun laut sedang melanda negara.
Hadir sama pada sidang media itu ialah Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lutong Henry Jugah.
Sementara itu, mayat mangsa telah dituntut oleh ahli keluarganya untuk disembahyangkan di Masjid Ar’Rayyan, Bandar Baru Permyjaya dan seterusnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 1 di sini tengah hari tadi.
Oleh Adum Liu