KUALA LUMPUR: Ringgit mengakhiri dagangan Isnin dengan menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) susulan sentimen berhati-hati pasaran selepas laporan data pekerjaan bukan perladangan (NFP) AS yang kukuh bagi Disember 2024.
Pada jam 6 petang, ringgit turun kepada 4.5080/5120 berbanding dolar AS daripada 4.4945/5000 pada penutupan dagangan Jumaat lalu.
Data NFP AS mencatatkan peningkatan kepada paras tertinggi sembilan bulan sebanyak 256,000 pekerjaan pada Disember berbanding 212,000 pekerjaan pada November, didorong kenaikan dalam kebanyakan sektor kecuali pembuatan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, laporan kukuh NFP itu mencadangkan Rizab Persekutuan (Fed) berkemungkinan mengekalkan kadar faedah semasa mesyuarat 28-29 Januari ini.
“Mereka mungkin mahu mengekalkan kadar faedah Fed Fund pada paras semasa untuk mengawal risiko inflasi yang lebih tinggi,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, kelemahan ringgit sejajar dengan mata wang Asia lain, susulan kesan daripada data pekerjaan AS yang kukuh yang mendorong peningkatan kadar faedah AS serta penjualan bon jangka pendek yang ketara.
“Ini mencerminkan keraguan terhadap kemungkinan penurunan kadar faedah Fed. Jika data indeks harga pengguna (CPI) AS minggu ini menunjukkan bacaan yang tinggi, kebarangkalian untuk penurunan kadar faedah akan terus berkurangan, menambah tekanan terhadap ringgit,” katanya.
Ringgit bagaimanapun mengukuh berbanding kebanyakan mata wang utama lain.
Ia meningkat berbanding euro kepada 4.5964/6004 daripada 4.6298/6355 dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4592/4640 daripada 5.5296/5364 pada Jumaat. Namun, ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 2.8706/8733 berbanding 2.8461/8497 sebelumnya.
Ringgit turut mencatat prestasi lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN.
Ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9440/9618 daripada 12.9824/13.0043 serta naik berbanding rupiah Indonesia kepada 276.8/277.2 berbanding 277.5/278.0.
Ringgit juga mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2788/2822 daripada 3.2843/2888 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.68/7.69 daripada 7.70/7.71 pada Jumaat lalu. — BERNAMA