KUALA LUMPUR, 14 November: Malaysia perlu beralih daripada sekadar menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global kepada pencipta dan pemilik harta intelek, teknologi dan jenama yang inovatif.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin berkata reka bentuk memainkan peranan penting sebagai pemacu strategik dalam memperkukuh keupayaan perindustrian negara.
“Ia harus diterapkan di seluruh rantaian nilai dari peringkat awal pembangunan produk sehingga peringkat komersialisasi selaras dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” katanya menerusi ucapan perasmian acara Kuala Lumpur Design Summit 2026 (KLDS 2026), di sini, hari ini.
Ucapan beliau dibacakan oleh pengarah kanan bahagian pembangunan sektor perkhidmatan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Muhammad Zulhilmi Ahmad.
Sim berkata landskap global yang semakin kompetitif menuntut Malaysia beralih daripada persaingan berasaskan kos kepada penciptaan produk bernilai tinggi sekali gus menjadikan reka bentuk satu keperluan ekonomi.
“Kita memerlukan reka bentuk untuk diterjemahkan kepada produktiviti, pengkomersialan yang berjaya serta jenama Malaysia yang lebih kukuh yang mampu berdiri dengan yakin di pasaran antarabangsa.
“Ekonomi kreatif juga berpotensi memberikan nilai tambah lebih besar kepada sektor perindustrian negara khususnya dalam era digital,” katanya.
Beliau berkata sektor kreatif bukan sahaja membuka peluang pekerjaan dan menjana pendapatan, malah menyokong usahawan serta penggiat kreatif termasuk pereka, artis dan perniagaan berasaskan komuniti.
“Malaysia mempunyai bakat, sektor perindustrian yang kukuh dan rangka kerja dasar yang holistik. Apa yang kita perlukan sekarang ialah menyatukan semua kekuatan ini untuk menghubungkan titik-titik ini dan mengubah potensi kepada kemakmuran yang dikongsi bersama,” katanya.
Beliau berkata di peringkat serantau, ekonomi kreatif atau ekonomi jingga telah diangkat sebagai salah satu bidang keutamaan bagi pertumbuhan masa hadapan negara dalam RMK13 dan di bawah tonggak Komuniti Sosiobudaya ASEAN.
MITI dengan kerjasama Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) telah terlibat sebagai kumpulan perintis penubuhan Pusat Kecemerlangan Industri Kreatif ASEAN (ACE-CI) yang akan dibangunkan di Manila, Filipina bersempena dengan kepengerusian Filipina bagi ASEAN 2026.
Eksport barangan dan perkhidmatan budaya dan kreatif menyumbang sebanyak RM63 billion atau 4.6 peratus kepada jumlah eksport barangan dan perkhidmatan negara pada 2024.
Pada 2025, Malaysia berada di tempat kedua dalam kalangan negara anggota ASEAN dan tempat ke-34 di peringkat global dalam Indeks Inovasi Global yang dilaporkan oleh World Intellectual Property Organization (WIPO).
“Produk elektrik dan elektronik kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan eksport meningkat hampir RM254 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026.
“Produk pembuatan lain seperti peralatan optik dan saintifik, mesin, peralatan dan bahagian-bahagian yang turut menyumbang kepada pengembangan eksport. Inilah industri yang mana reka bentuk, kefungsian, ketepatan dan inovasi teknologi mampu memberi perbezaan yang ketara,” katanya.
Sementara itu KLDS 2026 anjuran MRM yang diadakan buat julung kalinya dari 13 hingga 15 November di World Trade Centre Kuala Lumpur itu meletakkan reka bentuk sebagai pemacu utama dalam memperkukuh keupayaan industri Malaysia, menghasilkan produk bernilai tinggi serta meningkatkan daya saing perniagaan Malaysia di pasaran global.
Majlis perasmian sidang kemuncak yang bertemakan “Designers Driving Industry Forward” itu turut meraikan pencapaian dalam reka bentuk melalui penganugerahan Malaysia Good Design Award (MGDA) 2026.
Pada tahun ini, MRM menerima penyertaan di mana 49 produk daripada 25 syarikat merentasi 10 kategori diiktiraf atas kualiti cemerlang dalam reka bentuk dan pembuatan.
Majlis turut mengiktiraf kohort terbaharu Certified Industrial Designers (CiDe), iaitu program pengiktirafan profesional yang menetapkan penanda aras bagi kompetensi reka bentuk industri.
Program CiDe membantu memperkukuh standard profesional, meningkatkan keyakinan industri dan membangunkan kumpulan profesional reka bentuk industri yang berkelayakan bagi menyokong pembangunan industri Malaysia. – Bernama




